Tiada cadangan masukkan semula Seksyen 88A: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memasukkan semula Seksyen 88A berkaitan status penukaran agama anak berumur di bawah 18 tahun ke dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata seksyen tersebut iaitu peruntukan untuk melarang penukaran agama anak tanpa persetujuan bersama ibu bapa telah digugurkan daripada Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 kerana bercanggah dengan peruntukan di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini adalah selaras dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama individu berumur bawah 18 tahun boleh ditentukan secara unilateral oleh ibu, bapa atau penjaga," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu bentuk kajian yang sedang dilakukan kerajaan berkaitan Fasal 88A.

Berhubung dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi pada 2018, Muhyiddin berkata kementeriannya sedia maklum mengenai pembatalan penukaran agama secara ‘unilateral conversion’ bagi lima individu berumur bawah 18

"Sehubungan dengan itu, cadangan untuk memasukkan Seksyen 88A telah diteliti semula bersama dengan Jabatan Peguam Negara.

"Hasil penelitian tersebut menyimpulkan bahawa Mahkamah sebagai Badan Kehakiman mempunyai kebebasan untuk mentafsirkan sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan," kata Muhyiddin.

Menurutnya, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) merupakan undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri bagi mengawal selia perkahwinan monogami dalam kalangan individu bukan beragama Islam. -Bernama

Artikel Berkaitan: