DR KO ungguli BLPLC 2021/22

Pasukan DR KO meraikan kejayaan menewaskan Senheng pada perlawanan akhir BBLPLC di Sports Arena Sentosa pada Ahad. FOTO: Purple League
Pasukan DR KO meraikan kejayaan menewaskan Senheng pada perlawanan akhir BBLPLC di Sports Arena Sentosa pada Ahad. FOTO: Purple League
A
A
A

PENERAJU klinik pakar kulit Malaysia, DR KO membuktikan bukan saja hebat di bidang kesihatan tetapi juga di gelanggang apabila muncul juara edisi kedua Biz Link Properties Purple League 2021/2022 (BLPLC) apabila menundukkan Senheng 11-3 pada perlawanan akhir di Sports Arena Sentosa, pada Ahad.

DR KO bermula garang di final apabila gandingan Dhami Tula Ram – Lim Loong Meng tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran Pong Chit Pei – Yong Chee Seng, 3-0 (11-10, 11-0, 11-9) dalam aksi membabitkan beregu lelaki.

Dalam aksi kedua membabitkan beregu campuran pula, Senheng berjaya mengejar menerusi Junior Oh – Yap Yee yang menewaskan Sim Juei Kee dan pemain professional negara Woon Khe Wei 3-2 (11-6,10-11,11-8,10-11,11-9) dalam pertarungan 51 minit untuk menjadikan kedudukan 5-3.

Datuk Lim Choon Seng dan Lim Choon Keong menjarakkan kedudukan kepada 8-3 hasil kemenangan selesa 3-0 (11-3,11-5, 11-4) ke atas gandingan Senheng, Chow Kock Fei – Wong Thian Lai di dalam kategori beregu lelaki.

Kemenangan DR KO disempurnakan gandingan beregu wanita Stephanie Fenellang – Tan Chew Ping meletakkan pertembungan ini di luar jangkauan Senheng menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-4, 11-7) ke atas Karena Wong – Yap Rui Chen sekali gus mengesahkan kejuaraan dengan keputusan 11-3.

“Kami teruja kerana berjaya memenangi BLPLC buat kali pertama. Pada awalnya, kami tidak menyangka bahawa kami mampu mengejutkan barisan yang menampilkan pemain kebangsaan.

“Kami tidak boleh terlalu dibuai-buai dengan kejayaan ini dan perlu meningkatkan usaha kami bagi mengekalkan kejuaraan kami untuk edisi akan datang,” kata pengurus pasukan, Soo Teck Zhi.

Dalam penentuan tempat ketiga, Oriental Real Estate terlalu sukar untuk ditandingi Top Glove, apabila meraih kemenangan menyakinkan 9-3 untuk masing-masing membawa pulang RM12,500.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong berkata, penganjuran BLPLC ini adalah sebagai platform bagi pemain badminton meneruskan kelangsungan kerjaya selepas persaraan mereka.

“Liga korporat ini adalah platform terbaik bagi kelangsungan seseorang atlit selepas tamatnya kerjaya mereka.

“Syarikat korporat boleh mengambil mereka sebagai jurulatih atau menyerap mereka sebagai warga kerja. Mereka juga tidak terikat sebagai atlit dan boleh mencuba kerjaya lain menerusi pelbagai bidang yang ditawarkan,” katanya.

Sebanyak 10 badan korporat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam edisi kedua kejohanan ini iaitu AEON Credit Services, Genting Malaysia, Oriental Real Estate, redONE (redPHOENIX), Perbadanan Putrajaya, Top Glove, Senheng, Kelab Sukan China Press, DR. KO dan AIG