Trio Dungun gegar Nilai

Eddyna (kiri) dan Saniy menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka pada Kejohanan Lumba Basikal Antarabangsa Malaysia 2022 pada Ahad.
Eddyna (kiri) dan Saniy menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka pada Kejohanan Lumba Basikal Antarabangsa Malaysia 2022 pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA muda negara, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin masih mampu mengukir senyuman bangga apabila menyambar pingat gangsa kategori Bawah 23 Tahun (B-23) wanita Kejohanan Lumba Basikal BMX Antarabangsa Malaysia 2022 di Arena BMX Nasional, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad.

Pencapaian pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 21 tahun itu umpama mengulangi kejayaannya membawa pulang pingat gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) yang turut berlangsung di venue sama pada Sabtu.

Mengulas kejayaannya itu, Eddyna berkata, dia masih boleh berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dalam kedua-dua kejohanan itu sekalipun gagal menjelmakan kilauan emas buat kem Malaysia di hadapan penyokong sendiri.

"Ya saya tetap gembira walaupun hari ini (Ahad) sekali lagi saya meraih pingat gangsa. Jika dibandingkan dengan prestasi semalam (Sabtu), saya dapat rasakan prestasi hari ini (Ahad) jauh lebih baik kerana saya bersaing sengit dengan pelumba Korea," katanya.

Pada perlumbaan final, Eddyna yang turut ditemani kedua ibu bapanya sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba pilihan - Jui Yabuta dari Jepun dan Kim Taeyoung (Korea Selatan) yang masing-masing meraih pingat emas dan perak.

"Sebelum beraksi di final, saya memang cuba meletakkan sasaran podium dan kalau boleh sekurang-kurangnya kedudukan kedua. Saya sudah sehabis baik untuk mencabar Kim kerana saya tahu pelumba Jepun itu (Yabuta) agak sukar diatasi tetapi itu saja yang saya mampu lakukan," ujarnya.

Sejurus kejayaan Eddyna, Arena BMX Nasional terus 'bergegar' apabila seorang lagi pelumba muda negara, Saniy Syahmi Mohd Safiee meraih gangsa kategori B-23 lelaki, sekali gus mengulangi pencapaian rakan sepasukannya yang juga dari Dungun, Amer Akbar Anuar pada ACC BMX 2022.

Amer (kanan) meraih pingat gangsa B-23 ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai pada Sabtu.
Amer (kanan) meraih pingat gangsa B-23 ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai pada Sabtu.

"Saya memang target podium hari ini (Ahad) selepas gagal meraih sebarang podium semalam (Sabtu) disebabkan demam. Syukur alhamdulillah akhirnya saya dapat mencapai sasaran podium walaupun pada awalnya saya memang ada letak target nak menang pingat emas," ujarnya.

Sekalipun gagal meraih kedudukan podium buat kali kedua berturut-turut, Amer tetap berpuas hati dengan prestasinya dalam kedua-kedua kejohanan kali ini yang disifatkannya sebagai platform terbaik untuk terus memperbaiki rentak tunggangannya.

"Saya anggap ini semua rezeki. Ini kali pertama saya sertai ACC BMX dah sudah berjaya meraih pingat gangsa. Terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan kebangsaan yang membantu saya menjalani kem latihan pusat sebelum beraksi pada kejohanan kali ini," ujarnya.

Seperti diramal, barisan pelumba Jepun sekali lagi menawan Arena BMX Nasional apabila wakil dari negara Matahari Terbit itu meraih emas dalam kategori B-23 lelaki menerusi Ryo Shimada; Hyoga Kuichi (junior lelaki); Jui Yabuta (B-23 wanita) dan Kanami Tanno (elit wanita).

Pelumba sensasi Thailand, Komet Sukprasert sekali lagi menampilkan kayuhan bertenaga apabila menyambar pingat emas kategori elit lelaki bagi mengulangi kejayaannya muncul juara ACC BMX 2022, manakala wakil Indonesia, Jassmine Azzahra Setyobudi memenangi gangsa saingan junior wanita.