Lelaki maut, lori dipandu terjunam di tapak projek ECRL

Keadaan lori dipandu mangsa yang terjunam dalam kejadian di kawasan Pembinaan Tapak Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dekat Kampung Merchang, Marang pada Ahad.
Keadaan lori dipandu mangsa yang terjunam dalam kejadian di kawasan Pembinaan Tapak Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dekat Kampung Merchang, Marang pada Ahad.
A
A
A

MARANG - Seorang pemandu lori maut selepas tercampak dari kenderaannya yang terjunam kira-kira tiga meter di kawasan Pembinaan Tapak Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dekat Kampung Merchang di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nasaruddin Nasir, 37, yang beralamat di Dungun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu menuruni bukit di tapak pembinaan menghala ke bengkel lori.

Beliau berkata, menurut saksi yang berada di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan ketika menuruni bukit.

"Akibat kejadian itu, lori dipandu mangsa terjunam di curam setinggi kira-kira tiga meter menyebabkan mangsa tercampak keluar dari cermin hadapan lori dan kepala mangsa digilis tayar bahagian belakang lori berkenaan," katanya di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Zain, punca lori berkenaan hilang kawalan belum dapat dipastikan.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan tayar bahagian hadapan di sebelah kanan serta cermin hadapan pecah.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.