Majikan digesa tawar kerja kepada bekas banduan

Saifuddin (empat dari kiri) melihat bekas penagih dadah bekerja di LYC Car Spa pada Program SDG:Peluang Kedua Kehidupan Baharu di sini pada Ahad.
Saifuddin (empat dari kiri) melihat bekas penagih dadah bekerja di LYC Car Spa pada Program SDG:Peluang Kedua Kehidupan Baharu di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Para majikan disaran tampil membantu bekas banduan, bekas penagih dadah dan orang kena pengawasan (OKP) dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan itu.

Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, usaha itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pekerjaan bagus dan pembangunan ekonomi sekali gus membantu golongan tersebut menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Melalui peluang kerja yang ditawarkan, mereka akan mendapat sumber pendapatan tetap mampu mengelak kembali melakukan kesalahan lama dan membantu mengurangkan data penambahan penagih di negara ini setiap tahun.

"Pada masa sama langkah itu juga membantu majikan mendapatkan pekerja tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program SDG: Peluang Kedua Kehidupan Baharu di LYC Car Spa, Jalan Haji Abdul Aziz di sini pada Ahad.

Saifuddin berkata, Program SDG: Peluang Kedua Kehidupan Baharu telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Indera Mahkota melalui sebuah pusat cuci kereta, LYC Car Spa dan seramai 200 golongan tersebut telah dibantu sejak tahun 2018.

Menurutnya, program itu juga sebahagian daripada Program Hijrah iaitu inisiatif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan OKP serta mereka dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) mendapat peluang kedua.

"Justeru, Agensi Perintis Kerjaya dan Pemulihan juga telah ditubuhkan dengan kerjasama AADK supaya program ini dapat diperluaskan dan diperkenalkan kepada majikan-majikan berpotensi lain selain di LYC Car Spa," ujarnya.

Jelas beliau, meskipun terdapat pelbagai cabaran terhadap majikan untuk menerima golongan tersebut kerana bimbang mereka akan mendatangkan masalah, pihaknya berharap usaha itu tidak terhenti begitu sahaja.

"Pendedahan yang secukupnya akan diberikan kepada masyarakat khususnya pihak majikan supaya mereka menerima kembali golongan itu ke dalam pasaran kerja.

"Masyarakat seharusnya memberi peluang kedua kepada mereka dan memupuk kebersamaan dengan pelbagai pihak untuk membantu kumpulan tersebut," katanya.