Pas yakin formula satu lawan satu mampu tawan Selangor

Ahmad Yunus (empat dari kanan) bersama-sama menyemarak kemerdekaan pada Majlis Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan Kibar Jalur Gemilang Pas Negeri Selangor di Dataran Markas Pas Kawasan Sungai Besar, Kampung Simpang Lima pada Ahad.
Ahmad Yunus (empat dari kanan) bersama-sama menyemarak kemerdekaan pada Majlis Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan Kibar Jalur Gemilang Pas Negeri Selangor di Dataran Markas Pas Kawasan Sungai Besar, Kampung Simpang Lima pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BESAR - [DIKEMAS KINI] Pas Selangor yakin mampu menawan negeri ini sekiranya mendapat kerjasama daripada parti Melayu terutama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, hanya formula pertembungan satu lawan satu mampu beroleh kejayaan untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

"Pas optimis jika kesepakatan dan perpaduan ummah ini dapat direalisasikan, kita mempunyai peluang untuk menang di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan Kibar Jalur Gemilang Pas Negeri Selangor di Dataran Markas Pas Kawasan Sungai Besar, Kampung Simpang Lima di sini, pada Ahad.

Ahmad Yunus berkata, peluang untuk memenangi PRU15 bukanlah mustahil memandangkan parti itu pernah memenangi 15 kerusi dalam pilihan raya sebelum ini.

Jelas beliau, senario politik pada masa ini berbeza kerana rakyat lebih cenderung terhadap gabungan parti berbanding memilih parti yang bertanding atas tiket bersendirian.

Katanya lagi, situasi itu dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada gabungan UMNO dan Pas.

"Malah, jika kesepakatan ini dapat dimuktamadkan, kita yakin di Parlimen Sungai Besar iaitu DUN Sekinchan boleh kita menang dengan syarat perpaduan ummah dapat direalisasikan," jelas Ahmad Yunus.

Ahmad Yunus dalam pada itu memberitahu, keanggotaan Pas di seluruh Selangor yang berdaftar dengan parti itu sudah melebihi 120,000 ahli.

"Hampir setiap bulan Pas menerima kira-kira 500 keahlian baharu termasuk melalui kempen menambah ahli yang dilancarkan di peringkat negeri.

"Pas tidak hanya memberi tumpuan kepada penambahan ahli, sebaliknya fokus untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat untuk berjuang menyokong parti berkenaan.

"Sekiranya mereka menjadi ahli Pas, mereka mempunyai tanggungjawab besar kepada parti lebih-lebih lagi dengan pelaksnaan Undi 18 ini mereka diberikan penerangan selain meletakkan kepentingan Islam sebagai asas perjuangan parti," kata beliau.