COME bantu usahawan baharu luar bandar tingkat pendapatan

Mahdzir (tengah) melawat Pusat Daya Maju Kemas di Bengkel Jahitan Kemas Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.
Mahdzir (tengah) melawat Pusat Daya Maju Kemas di Bengkel Jahitan Kemas Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.
A
A
A

PADANG TERAP - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju (COME) bagi membantu meningkatkan pendapatan 3,000 usahawan baharu di luar bandar di setiap negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bengkel tersebut menyediakan pelbagai peralatan untuk keusahawanan secara percuma kepada kumpulan sasar B-40.

Menurutnya, kewujudan COME selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia untuk memastikan kumpulan sasar tersebut menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan.

"Golongan peniaga atau usahawan baharu bidang jahitan contohnya yang tidak mempunyai peralatan lengkap boleh menggunakan peralatan yang disediakan secara percuma di Pusat Daya Maju ini.

"Dengan adanya Bengkel COME ini, mereka boleh datang menggunakan mesin-mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi dan juga mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat Kemas yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar," katanya ketika ditemui media pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Kemas di Bengkel Jahitan Kemas Daerah Padang Terap, Kuala Nerang.

Hadir sama, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas; Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah Kemas Kedah, Noor Azman Abd Rahman.

Jelas Mahdzir lagi, setiap negeri mempunyai satu COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan Kemas sedia ada dan berharap pembukaan 14 bengkel COME akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu kata Mahdzir, Kemas akan membuka lebih banyak kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia.

“Sejajar dengan kewujudan Pusat Daya Maju, pada tahun ini juga, Kemas melaksanakan kioks “Qukis Kemas” keluarga Malaysia yang merupakan platfom terbaik bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk – produk usahawan bimbingan Kemas,” kata Mahdzir.

Sejak tahun 2019 hingga kini, seramai 166,788 orang telah menghadiri kelas kemahiran yang dikendalikan Kemas.

Manakala program Bantuan Quickwin yang diperkenalkan Kemas sejak tahun 2016 pula telah memberi manfaat kepada seramai 18,477 orang dengan 16,618 orang daripadanya adalah golongan wanita.

Program ini merupakan antara inisiatif yang disediakan Kemas bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar.