Swaterbit dan Sasterawan Negara

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

HARI ini isu swaterbit menjadi isu menarik dan penting dalam dunia penerbitan buku. Swaterbit terjadi apabila seorang pengarang menulis sebuah buku, novel atau kumpulan puisi, kemudian menggunakan wang sendiri untuk mencetak.

Ia mendapat jolokan swaterbit kerana ciri utama ialah pengarang boleh menerbitkan karyanya tanpa mendapat kelulusan daripada sesiapa. Justeru itu kadang-kadang mereka ditertawakan kerana menulis, terbit, jual, beli dan mungkin baca sendiri.

Tetapi sebelum anda mentertawakan atau memperlekehkannya mari kita lihat beberapa perkara yang mungkin tidak disedari. Swaterbit bukan perkara baharu. Kegiatan ini telah lama wujud dengan cara yang mungkin berbeza.

Perkara pertama yang menyebabkan bersemaraknya swaterbit ialah kegagalan penulis untuk mencari penerbit bagi menerbitkan karya mereka. Ia juga bermaksud karya-karya itu sudah ditolak oleh penerbit-penerbit besar, misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka. Mungkin ada pandangan yang sinis mengatakan kalau sudah ditolak bermakna karya-karya itu tidak bermutu.

Katakan apa sahaja tetapi bayangkan kekecewaan yang dialami oleh seorang pengarang. Setelah bertungkus-lumus, membuang masa mungkin bertahun-tahun untuk menyiapkan sebuah karya, alangkah kecewanya jika ia dibiarkan begitu sahaja, tidak diterbitkan dan tentunya tiada yang membaca. Kekecewaan seperti ini tidak sahaja dialami oleh penulis kecil, malah pengarang besar.

Susah payah menulis

Seseorang yang pernah bercakap tentang kekecewaan itu termasuklah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain. Dalam satu ceramahnya (yang saya tidak ingat lagi di mana) beliau membongkar kisah novel Imam. Beliau bercerita bagaimana setelah bersusah payah menulis dan menghabiskan masa bertahun-tahun, beliau gagal mencari penerbit.

Itu bererti karya tersebut pernah ditolak oleh beberapa rumah penerbitan. Kata Allahyarham, salah satu sebab terbesar Imam ditolak mungkin kerana ia dianggap terlalu tebal. Tidak ramai editor yang sanggup membacanya.

Sasterawan Negara kelapan itu menceritakan, pada suatu malam selepas solat Maghrib, beliau memanggil anak-anaknya. Di situ beliau berwasiat, andai apa-apa terjadi kepadanya, anak-anak mestilah berusaha untuk menerbitkan novel itu walaupun terpaksa berbelanja sendiri. Maknanya, novel itu nyaris diterbitkan secara swaterbit.

Namun begitu, sesuatu berlaku dan mengubah keadaan. Hadiah Novel Nasional 1992/94 sempena mengenang Allahyarham Pak Sako diumumkan dan Abdullah Hussain mengambil keputusan untuk menghantar manuskrip ke pertandingan. Sebenarnya, Abdullah Hussain tidak suka menyertai sayembara tetapi beliau menghantar ke sana semata-mata kerana berharap novel itu akan dibaca.

Ternyata tindakan menghantar novel tersebut ke pertandingan itu sungguh berbaloi kerana Imam telah memenangi tempat pertama pertandingan tersebut.

Setelah kemenangan itu, telah diadakan majlis-majlis diskusi novel tersebut. Imam telah dibaca oleh ramai pengkaji seperti yang dihajati oleh pengarangnya. Lebih daripada itu, masyarakat akan dapat menonton Imam yang telah difilemkan oleh Al Kahfi Pictures, diarah oleh Mior Hashim Manaf serta menampilkan M Nasir sebagai pemegang watak utamanya.

Dengan kemenangan itu, Abdullah Hussain tidak jadi menerbitkan sendiri Imam. Namun, ada Sasterawan Negara lain yang berbuat demikian iaitu Anwar Ridhwan yang menerbitkan Naratif Ogonshoto.

Ia kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Perdana. Tidaklah jelas mengapa Anwar Ridhwan mengambil keputusan melakukan swaterbit pada awalnya dan tidak jelas juga mengapa hak penerbitan kemudiannya diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

A Samad Said
A Samad Said

Mengikut Datuk Seri A Samad Said, dia pernah menerbitkan buku sendiri.

“Sebab payah dapat penerbit. Sebelum jadi penulis, kita sendiri terpaksa jadi penerbit. Sangat sedih dan sangat pedih,” kata beliau kepada saya.

Siti Zainon
Siti Zainon

Selain saya, Sasterawan Negara, Datuk Siti Zainon Ismail juga pernah menerbit karya sendiri, berusaha sama dengan penulis-penulis wanita yang lain seperti Mawar Shafie dan Nisah Haron.

Lama sebelum itu Suhaimi Muhammad terkenal kerana kerajinannya mencetak puisi-puisinya dengan secara stensilan dan kebanyakannya diberi kepada kawan-kawan.

Pada masa kini, dunia penerbitan dimeriahkan oleh penerbit-penerbit kecil. Antara lain, Helmy Samad Publications berkolaboratif dengan Nuha Creative Resources menerbitkan novel-novel A. Samad Said.

Usaha mereka memperlihatkan hasil yang membanggakan. Novel-novel ikonik A Samad Said telah beberapa kali diulang cetak. Individu-individu seperti Sri Diah Shaharudin juga menyumbang dalam perkembangan industri perbukuan negara dengan menubuhkan kumpulan penulis mereka.

Ada juga penulis yang bermula dengan swaterbit tetapi telah dilamar oleh penerbit besar. Hal itu berlaku kepada Tuan Ahmad Isa yang menerbitkan buku Ustazah Basikal. Buku yang terjual lebih 30,000 naskhah itu menarik perhatian Kumpulan Karangkraf untuk penerbitan dan pemasaran seterusnya.

Mungkin swaterbit menjadi langkah pertama anda ke dunia penulisan. Swaterbit diperlukan dalam menentukan kelangsungan penerbitan di negara kita. Namun, ia mestilah ditangani dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

* Zurinah Hassan ialah Sasterawan Negara ke-13 dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Perlis