Tiga individu diberkas terlibat pemerdagangan manusia

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Bandar Botanic pada Jumaat.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Bandar Botanic pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Tidak dibenarkan keluar rumah selain telefon bimbit dipegang majikan, itu nasib dialami tujuh wanita warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa dikesan menerusi serbuan di sebuah rumah di kawasan Bandar Botanic pada Jumaat.

Kegiatan yang didalangi tiga warga tempatan itu bagaimanapun terbongkar menerusi serbuan yang dijalankan Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Cawangan Klang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 8.30 malam berdasarkan maklumat dan risikan.

Menurutnya, hasil dari risikan dan siasatan dalam operasi berjaya mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang yang melibatkan pekerja asing.

"Polis berjaya menangkap tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan lingkungan umur 33 hingga 67 tahun yang merupakan majikan.

"Selain tujuh wanita warga asing yang diselamatkan, polis turut menahan 15 lagi wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mangsa berumur 30 hingga 43 tahun yang diselamatkan menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di kawasan Bandar Botanic, Klang.

"Kesemua mangsa sebelum ini dijanjikan pekerjaan tukang cuci di syarikat yang sah dan mempunyai kontrak kerja serta permit kerja yang sah sebelum tiba di negara ini.

"Bagaimanapun, ketika tiba, kesemua mangsa dipaksa bekerja sebagai tukang cuci harian yang dihantar daripada rumah ke rumah, pejabat, kilang dan tadika," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa juga telah diarahkan tinggal serumah bersama majikan dan ahli keluarganya.

"Pergerakan mangsa juga dikawal kerana pasport dan telefon bimbit dipegang oleh majikan serta tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa kebenaran," katanya.

Ujar Hoong Fong, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua suspek yang diberkas direman enam hari untuk siasatan lanjut," katanya.