Agong lawat lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB

Al-Sultan Abdullah berkenan melawat Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul yang diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di Istanbul hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan melawat Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul yang diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di Istanbul hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISTANBUL - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), di sini, yang dimiliki dan dikendalikan oleh Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Sebaik keberangkatan tiba, Seri Paduka dipersembahkan taklimat mengenai operasi serta potensi pertumbuhan ISGIA oleh Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan melawat sekitar terminal penumpang lapangan terbang tersebut yang merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah.

Lapangan terbang yang mula beroperasi pada 2008 itu menjadi satu daripada simbol mercu tanda hubungan perniagaan Malaysia-Turkiye.

Pada 2021, jumlah penumpang lapangan terbang berkenaan mencecah 25 juta orang yang merupakan 70 peratus daripada angka prapandemik COVID-19.

ISGIA turut disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua Eropah yang mencatat pemulihan paling pantas pada tahun lepas.

MAHB telah melabur kira-kira 500 juta Euro dalam projek lapangan terbang Sabiha dan sedang meninjau lebih banyak projek sedemikian di negara ini.

ISGIA merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye selain menjadi landasan tunggal paling sibuk di dunia dengan penerbangan ke 110 destinasi di 49 negara.

Pada 2021, ISGIA muncul sebagai lapangan terbang pertama dunia menggunakan sistem kawalan jauh inovatif bagi jejantas untuk kemudahan penumpang berlepas dan membolehkan proses berkaitan dilakukan dengan penggunaan kamera serta pengesan dengan ketepatan tinggi.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat masjid ISGIA yang juga dibina dan diselia oleh MAHB.

Turut hadir, Menteri Pengiring, yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal. - Bernama