Banjir, hujan berlarutan di Pakistan ragut 33 nyawa

Orang ramai melalui kawasan banjir selepas hujan lebat melanda di Hyderabad, Pakistan pada Jumaat. - Foto EPA
Orang ramai melalui kawasan banjir selepas hujan lebat melanda di Hyderabad, Pakistan pada Jumaat. - Foto EPA
A
A
A

KARACHI - Banjir dan hujan yang berlarutan di Pakistan telah meragut 33 lagi nyawa sejak dua hari lalu selain turut menenggelamkan sebahagian besar kawasan, menghanyutkan infrastruktur serta mencetuskan tanah runtuh.

Beratus-ratus ribu penduduk di wilayah Gilgit-Baltistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan turut terjejas, lapor Agensi Anadolu, memetik pihak berkuasa pada Sabtu.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara sejak 14 Jun lalu lebih 650 orang telah terkorban, 215 daripadanya dilaporkan di barat daya Balochistan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, ribuan orang terkandas di selatan Sindh, Balochistan dan wilayah Punjab selepas banjir menenggelamkan ratusan kampung, tanah ladang serta menghanyutkan rumah, memusnahkan jalan raya dan jambatan.

Di Sindh hujan berterusan selama hampir 28 jam menyebabkan 20 orang terbunuh, lapor ARY News.

Korban turut dilaporkan di Balochistan, Punjab, Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan dan Gilgit-Baltistan.

Jabatan Meteorologi Pakistan meramalkan hujan akan melanda bahagian barat laut dan timur laut negara itu termasuk di Islamabad bermula 23 Ogos. - Bernama