KBS nafi wujud sabotaj isu 12 acara Sukma gugur

Ahmad Faizal (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia di sebuah kompleks beli-belah di Ipoh pada Sabtu.
Ahmad Faizal (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia di sebuah kompleks beli-belah di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menafikan terdapat sebarang unsur sabotaj oleh persatuan sukan di sebalik pengguguran 12 acara Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beberapa usaha dilakukan pihaknya dalam memastikan sebahagian acara yang digugurkan itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, antara perkara tersebut adalah melonggarkan syarat dari segi jumlah penyertaan untuk membolehkan acara tersebut dilangsungkan.

"Ada banyak pandangan. Setakat ini kita memutuskan bagi acara-acara yang mempunyai lapan negeri yang menyertainya kita turunkan jadi enam dan ada cadangan beberapa acara diturunkan jadi lima. Itu sedang kita perhalusi.

"Saya berpandangan kalau tak cukup, apa yang kementerian lakukan melalui MSN menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan bagi acara tersebut supaya atlet-atlet boleh terus dapat peluang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia di sebuah kompleks beli-belah di Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, cadangan pihak tertentu agar negeri-negeri yang gagal menghantar wakil dalam sesuatu acara dikenakan hukuman disifatkan tidak wajar.

Menurutnya, bukan semua negeri mempunyai atlet dalam semua acara dan tidak adil jika hukuman dikenakan disebabkan perkara tersebut.

Pada Sabtu, Khairul Shahril menyifatkan persatuan sukan yang terlibat dengan pengguguran 12 acara pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 perlu bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku.

Jelasnya, persatuan-persatuan sukan sepatutnya memastikan rangkaian mereka di negeri-negeri mempersiapkan atlet untuk kejohanan tersebut.