AIM sasar 8,000 anak Sahabat sertai tuisyen percuma

Ahmad Jazlan (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Khas Sahabat kepada Normazura (kanan) di Pusat Transformasi Ilmu pada Sabtu.
Ahmad Jazlan (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Khas Sahabat kepada Normazura (kanan) di Pusat Transformasi Ilmu pada Sabtu.
A
A
A

MACHANG - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan 8,000 anak usahawan mikro (Sahabat) mendapat manfaat daripada program tuisyen percuma di kesemua 125 pejabat AIM di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Perundangan AIM, Jani Izwandy Che Jan berkata, program sudah dimulakan pada 1 Julai lalu termasuk di pejabat AIM Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tuisyen itu memberi fokus kepada pembelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris bagi murid tahun lima dan enam.

“AIM dalam usaha memperkasakan pendidikan dalam kalangan anak Sahabat dengan menjadikan kesemua 125 pejabat cawangan AIM di seluruh negara sebagai pusat tuisyen.

“Setakat ini, seramai 4,500 anak Sabahat AIM menyertai tuisyen percuma dan kita sasarkan 8,000 yang menerima manfaat itu sehingga hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Karnival Sabahat Usahawan AIM Cawangan Machang di Pusat Transformasi Ilmu di sini pada Sabtu.

Hadir merasmikan majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam perkembangan lain, AIM memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi usaha membasmi kemiskinan dan memperkasa sosioekonomi golongan berpendapatan rendah menerusi skim pembiayaan.

“Ada lebih 370,000 Sahabat di seluruh negara yang dibantu dan Kelantan adalah yang kedua tertinggi dengan 45,000 Sabahat selepas Sabah.

“AIM berjaya membantu golongan berpendapatan rendah (B40) keluar dari belenggu kemiskinan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Di program itu, lebih 5,000 pengunjung hadir membeli-belah di lebih 50 gerai Sahabat selain turut mendapat informasi berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Koperasi Sahabat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Bank Negara Malaysia yang turut mengambil bahagian.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa Sahabat Terbaik AIM termasuk penerima Anugerah Khas Sahabat kepada Normazura Mat Husin.