PAC akan panggil semula KSU Pertahanan

Kah Woh
Kah Woh
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan perkembangan berkaitan syor-syor jawatankuasa itu terhadap projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, secara prosedurnya, KSU diberikan masa dua bulan untuk memberi maklum balas kepada jawatankuasa itu selepas syor berkenaan dibentangkan di Parlimen 4 Ogos lepas.

"Ini merupakan prosedur biasa, bukan untuk LCS sahaja tetapi untuk kes-kes yang disiasat dan dibentangkan laporan oleh PAC.

"Jadi kita akan mengatur satu tarikh pada bulan Oktober ini untuk membolehkan KSU Kementerian Pertahanan tampil ke PAC," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja menaik taraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, ada antara syor PAC yang telah pun dilaksanakan kerajaan iaitu nyahklasifikasi atau nyahrahsia Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Kah Woh (tengah) selepas meninjau kerja menaik taraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji pada Sabtu.
Kah Woh (tengah) selepas meninjau kerja menaik taraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji pada Sabtu.

Katanya, laporan itu telah dinyahrahsiakan walaupun dengan sedikit pemadaman berkaitan pemegang saham dan pengarah bagi syarikat-syarikat yang terbabit.

"Bagi saya, maklumat mengenai siapa pemegang saham, siapa pengarah dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam LCS merupakan maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Tindakan kerajaan memadam maklumat dalam laporan yang telah dinyahrahsia itu amat tidak perlu kerana bagi saya ia maklumat yang terbuka,” katanya.