RM1.08 bilion senggara jalan di seluruh negara

Fadillah (kanan) bercakap pada sidang media Program Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah (kanan) bercakap pada sidang media Program Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Sebanyak RM1.08 bilion diperuntukkan bagi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia tahun ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, RM150 juta membabitkan kerja penyenggaraan di zon selatan iaitu Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

"Bagi zon selatan, kerja penyenggaraan bagi negeri Pahang adalah sebanyak RM66.08 juta, Johor (RM60.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM23.63 juta).

"Kerja-kerja penyenggaraan ini penting untuk memastikan jalan-jalan ini berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita sempena Jelajah FTRoadpedia Selatan 2.0, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, projek cadangan menaik taraf jalan di Jalan Persekutuan FT050 dari Ayer Hitam ke Kluang di Seksyen 33.8 hingga ke persimpangan Stadium Kluang di Seksyen 49.1, akan dikemukakan ke peringkat Persekutuan tahun hadapan.

Fadillah berkata, projek Fasa 3B dengan anggaran nilai RM385.13 juta itu adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan maut sepanjang jajaran tersebut.

Katanya, ia juga merupakan kesinambungan daripada projek Fasa 3A bernilai RM219 juta yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2024.

"Lokasi ini telah direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia akibat ketiadaan bahu jalan, median dan pusingan U dan sebanyak 52 kemalangan dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Jun 2022.

"Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan Daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing melibatkan kerja-kerja membina bahu jalan, median, pusingan U dan juga kerja-kerja berkaitan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, tambahan sebanyak RM600,000 juga diluluskan untuk menambah baik lampu jalan di Jalan Persekutuan FT050 bagi memastikan pelbagai aspek terutama aspek keselamatan kepada pengguna. - Bernama