Pencapaian setahun Ismail Sabri mentadbir negara

A
A
A

Ismail Sabri beramah mesra bersama rakyat sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Rentam, Bera pada 14 Julai lalu.
Ismail Sabri beramah mesra bersama rakyat sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Rentam, Bera pada 14 Julai lalu.

Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos 2021, menamatkan 'kemelut' politik Malaysia yang berlanjutan lebih setahun setengah susulan insiden 'Langkah Sheraton' pada 23 Februari 2020.

Selepas genap setahun menerajui negara, penganalisis ekonomi dan pakar politik berpandangan banyak kejayaan telah dibawa Ismail Sabri daripada pelbagai sudut terutama ekonomi, politik, pendidikan dan kesihatan.

Pensyarah kanan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, setelah mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Ismail Sabri berjaya merancakkan semula ekonomi.

“Suntikan besar diberikan menerusi Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara dalam membantu memberi sinergi kepada ekonomi.

“Inisiatif yang diberikan menerusi Bajet 2022 juga terus ditambah baik misalnya untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), apabila kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40," katanya kepada Sinar Harian.

AHMED RAZMAN
AHMED RAZMAN

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di peringkat antarabangsa Ismail Sabri disifatkan sebagai berjaya meratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac lalu yang membolehkan negara memanfaatkan perjanjian mega itu sebagai alat pemulihan perniagaan Covid-19 untuk meningkatkan perdagangan.

Jelas beliau, penghapusan atau pengurangan tarif untuk barangan dagangan yang dinikmati menerusi perjanjian itu membolehkan ekonomi negara di peringkat global terus berkembang.

“Selain itu, pada suku pertama tahun ini seperti yang dilaporkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), negara telah mencatatkan sebanyak RM42.8 bilion pelaburan iaitu yang tertinggi dalam tempoh itu setakat ini," ujar beliau.

Ismail Sabri (kanan) bertanya khabar kesihatan seorang warga emas ketika turun mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.
Ismail Sabri (kanan) bertanya khabar kesihatan seorang warga emas ketika turun mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.

Perancangan tersusun

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menjelaskan, kejayaan terbesar Ismail Sabri dalam politik adalah mengikat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH).

"Selepas ambil alih kuasa, beliau bijak merancang strategi dengan memeterai MoU bersama PH dan ini adalah kunci kejayaan beliau yang turut mempengaruhi kecemerlangannya dalam aspek lain.

“Dengan adanya MoU, kerajaan menjadi stabil dan membolehkan Perdana Menteri memberi tumpuan kepada usaha pemulihan negara dalam fasa peralihan endemik," katanya.

MAZLAN
MAZLAN

Selain itu, Ismail Sabri juga banyak membawa reformasi di Parlimen antaranya dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti dan pelaksanaan undi 18.

Jelasnya, pembaharuan itu bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan namun ia berlaku di negara ini di era pentadbiran Ismail Sabri.

Sementara itu, dari sudut kesihatan, kerajaan pimpinan Ismail Sabri juga berjaya membendung penularan Covid-19 menerusi pelbagai inisiatif termasuk meneruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pemberian vaksin terus diberikan secara percuma dan beliau tidak mewajibkan rakyat bagi pengambilan vaksin untuk dos penggalak kedua, sebaliknya ia boleh diambil secara sukarela," jelasnya.

Ismail Sabri melayani kanak-kanak bermain ketika melawat mangsa banjir di Segamat, Johor.
Ismail Sabri melayani kanak-kanak bermain ketika melawat mangsa banjir di Segamat, Johor.

Katanya, kejayaan dalam bidang pendidikan pula dapat dilihat apabila kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sama ada ketika di dalam kelas atau di rumah.

“Inisiatif itu antaranya, mengagihkan peranti tablet percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi daripada golongan B40 melalui program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

“Dilaporkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM450 juta untuk tujuan itu dan ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 mahasiswa seluruh negara.

“Ini satu perbelanjaan luar biasa yang menunjukkan kesungguhan Kerajaan Keluarga Malaysia meningkatkan kualiti pendidikan apatah lagi masih ada pelajar yang mengikuti PdP secara dalam talian," kata Mazlan.