Michael Gove sokong Rishi Sunak rebut jawatan PM UK

Michael Gove (kanan) dan Rishi Sunak.
Michael Gove (kanan) dan Rishi Sunak.
A
A
A

MOSCOW - Bekas Setiausaha Negara Britain untuk perumahan dan komuniti, Michael Gove yang pernah dipecat oleh Boris Johnson Julai lalu, menyatakan sokongannya terhadap bekas Canselor Perbendaharaan United Kingdom (UK), Rishi Sunak untuk merebut jawatan Perdana Menteri, lapor Sputnik.

Gove pada Jumaat berkata, Rishi meletakkan keutamaan di tempat yang sewajarnya dan yakin beliau akan berusaha untuk melakukan yang terbaik berbanding kempen Setiausaha Luar Britain, Liz Truss yang disifatkannya umpama tidak berpijak di bumi nyata.

Hasil tinjauan bersama YouGov dan Sky News yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan 66 peratus ahli Parti Konservatif (Tory) berhasrat untuk mengundi Truss sebaliknya Sunak hanya memperoleh 34 peratus sokongan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang akan mengakhiri tugasnya masih mendapat sokongan kuat dalam kalangan ahli Tory dengan sejumlah 55 peratus ahli menyifatkan peletakan jawatan Johnson satu kesilapan.

Andai Johnson bertanding untuk jawatan Perdana Menteri, maka 46 peratus ahli akan mengundinya, berbanding 24 peratus untuk Truss dan 23 peratus Sunak.

Truss dan Sunak, dua calon akhir untuk merebut jawatan Perdana Menteri selepas Johnson mengumumkan peletakan jawatannya pada 7 Julai lalu.

Pengganti Johnson dijangka diumumkan pada 5 September. - Bernama