Perkukuh jentera, PDM seluruh Sabah hadapi PRU15

Bung Moktar ketika mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Kinabatangan, di Sandakan.
Bung Moktar ketika mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Kinabatangan, di Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Semua jentera di peringkat parti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Sabah perlu diperkukuhkan dan digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bagi kawasan Parlimen Kinabatangan saja, terdapat 297 cawangan UMNO dan 27 PDM.

"Walaupun UMNO bahagian ini mempunyai keahlian sekitar 28,422 orang namun parti tidak boleh bersandar sepenuhnya kepada jumlah itu kerana jumlah pengundi lebih besar daripada angka itu, termasuklah kehadiran pengundi muda 18 tahun yang akan menentukan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi di kawasan ini.

"Jadi semua jentera di peringkat parti dan PDM perlu diperkukuhkan dan digerakkan sepenuhnya memandangkan masa terlalu suntuk untuk berhadapan dengan PRU15 yang semakin hampir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Kinabatangan di sini, pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, pengundi dari parti kompenan BN yang lain perlu disantuni dan digerakkan bersama sebagai satu pasukan bagi mempastikan kemenangan di kawasan itu.

"Semua jentera perlu turun padang, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada laporan di atas kertas sahaja sedangkan setuasi di peringkat akar umbi amat berbeza dari laporan yang ada.

"Ini adalah medan terbaik untuk jentera di akar umbi melihat secara menyeluruh dan masing-masing boleh melontarkan idea serta pandangan dalam usaha memperkemaskan lagi perancangan sedia ada untuk kita sama-sama bergerak ke depan menempuh cabaran," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta jentera dan ahli parti sentiasa menanam mentaliti perlu menang dalam PRU akan datang.

"Saya sering tegaskan kalau nak menang kita buat kerja cara menang, kalau kita berkerja sambil lewa sudah tentu matalamat untuk menang sukar kita terjemahkan," katanya.