Pengkhianat negara dalam diam

Kejar kemewahan, rakyat tempatan sanggup bersekongkol sindiket PATI

Penglibatan rakyat tempatan dengan sindiket penyeludupan PATI merupakan satu pengkhianatan kerana perbuatan tersebut mendedahkan negara kepada kegiatan jenayah yang dilakukan warga asing. Gambar kecil: Fadil Marsus
Penglibatan rakyat tempatan dengan sindiket penyeludupan PATI merupakan satu pengkhianatan kerana perbuatan tersebut mendedahkan negara kepada kegiatan jenayah yang dilakukan warga asing. Gambar kecil: Fadil Marsus
A
A
A

PEMILIK bot, premis atau kediaman serta pemandu e-hailing adalah antara penduduk tempatan yang direkrut sindiket bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Umpama duri dalam daging, Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus mendedahkan, seramai 277 penduduk tempatan yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan ditahan pada tahun 2020 dan 138 orang pada tahun 2021.

Beliau berkata, berdasarkan tangkapan tersebut, warga tempatan tersebut didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan PATI.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan penglibatan warga tempatan dengan sindiket ini. Mereka merupakan dalang apabila menerima suapan untuk menjadi tonto, tekong darat, tekong laut serta transporter.

“Ejen sindiket akan mengenal pasti individu tempatan yang berpotensi untuk membantu dalam operasi haram mereka sebelum direkrut,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Fadil berkata, siasatan mendapati pemilik bot yang berperanan sebagai tekong dibayar upah sekitar RM600 sehingga RM1,000.

Menurutnya, bagi warga tempatan yang bertindak sebagai tonto, mereka akan dibayar mengikut perjalanan migran dari kawasan yang berjaya dimasuki sehingga ke destinasi dituju.

Malah, katanya, ejen turut bertindak berani apabila sanggup menggunakan khidmat pemandu e-hailing bagi membawa PATI.

“Ejen ini tidak kisah dalam soal wang ringgit. Mereka sanggup membayar jumlah yang tinggi asalkan kegiatan mereka berjalan lancar.

“Selain itu, sindiket juga akan mencari warga tempatan yang sanggup menyewakan rumah untuk dijadikan sebagai penempatan sementara PATI yang baru tiba ke negara ini. Bayaran diberikan mengikut jumlah hari migran tinggal di rumah penampungan serta kos makan dan minum PATI berkenaan,” ujar beliau.

Tindakan tekong darat menyeludup masuk lapan PATI warga Myanmar menggunakan Perodua Myvi gagal apabila ditahan Batalion 7 PGA Kuantan di Kampung Kedap, Rantau Panjang.
Tindakan tekong darat menyeludup masuk lapan PATI warga Myanmar menggunakan Perodua Myvi gagal apabila ditahan Batalion 7 PGA Kuantan di Kampung Kedap, Rantau Panjang.

Fadil berkata, biarpun sedar mereka berdepan peruntukan undang-undang tegas apabila terlibat dengan jenayah rentas sempadan, namun atas dasar tamak dan mahu mengejar kemewahan dalam masa singkat menyebabkan penduduk tempatan itu sanggup bersekongkol dengan sindiket.

Menurutnya, kadar bayaran yang dijanjikan sindiket amat lumayan menyebabkan penduduk tempatan ‘rambang mata’.

“Mereka yang terlibat kebanyakan tertarik dengan bayaran upah yang ditawarkan sindiket. Sama ada mereka akan hidup mewah, itu bergantung kepada sejauh mana penglibatan mereka dalam aktiviti penyeludupan PATI tersebut.

“Namun, secara hakikatnya mereka tidak sedar bahawa peruntukan undang-undang yang termaktub berkaitan perbuatan jenayah dilakukan ini adalah amat berat,” katanya.



Lokasi panas

Sementara itu, jelas Fadil, pembanterasan jenayah penyeludupan migran merupakan salah satu tumpuan utama JSJ Bukit Aman.

Beliau berkata, selain penguatkuasaan melibatkan operasi, tindakan pencegahan penyeludupan PATI turut dilaksanakan dengan mengesan dan menjalankan tangkapan terhadap kumpulan yang terlibat secara langsung kemasukan PATI.

“Mereka yang ditangkap ini terdiri daripada tekong-tekong, ejen dan penyedia rumah-rumah penampungan migran yang diseludup keluar atau masuk ke Malaysia.

“Antara sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan termasuk Geng Otong yang aktif dalam penyeludupan migran di kawasan perairan timur Johor, Geng Halim yang sebelum ini bergiat aktif di perairan Hutang Melintang, Perak serta Geng Husen Maungdaw yang diketuai oleh seorang etnik Rohingya dan bergiat aktif di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Menurutnya, tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam jenayah rentas

sempadan ini.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah ini akan diambil Tindakan yang tegas di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 atau Akta 670.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya.

Kenderaan yang memuatkan PATI ditahan dalam satu operasi di Pontian.
Kenderaan yang memuatkan PATI ditahan dalam satu operasi di Pontian.

“Selain itu, tindakan turut diambil dibawah Seksyen 268 akta sama iaitu kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat jika kesalahan penyeludupan migran itu dilakukan oleh pegawai awam dalam melaksanakan kewajipan berkaitan tugasnya.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, denda atau kedua-duanya serta seksyen peruntukan lain yang relevan dalam akta sama," jelas beliau.

Pada 5 Jun lalu, Sinar Harian secara eksklusif melaporkan pendedahan Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berhubung terdapat 13 lokasi panas pendaratan PATI di Selangor.

Lokasi yang dikenal pasti melibatkan dua sektor iaitu selatan meliputi Bagan Lalang ke Morib, manakala sektor utara meliputi Klang ke Sabak Bernam.

Bagi sektor selatan terdapat lima tempat yang dikenal pasti menjadi lokasi panas pendaratan PATI iaitu Bagan Lalang,

Tanjung Rhu, Tanjung Sepat, Kanchong Laut serta Kampung Tali Air.

Sementara sektor utara pula meliputi Sungai Serdang, Sungai Janggut, Pantai Remis, Sungai Yu (Tanjung Karang), Parit4 (Sekinchan), Sungai Nibong, Sungai Besar dan Sungai Lang (Sabak Bernam).



Pembelotan

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan mereka yang terlibat dalam jenayah penyeludupan PATI ini bukan sekadar penjenayah, malah pengkhianat kepada negara.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, mereka yang terlibat bukan sahaja berani melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, bahkan membelot negara sendiri.

“Disebabkan tamak dengan wang ringgit, rakyat Malaysia sendiri sanggup menggadaikan maruah negara, bukan setakat menjadi mata dan telinga pejenayah, tapi membantu pelbagai segi untuk melancarkan kemasukan PATI ini.

“Mereka ini bukan sekadar menjadi tekong, malah ada yang turut menjadi mata-mata sindiket penyeludupan hanya kerana laparkan wang dan mendambakan kehidupan mewah hasil kerja haram yang dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamal Affandi bagaimanapun berkata, usaha berterusan yang dijalankan pihak berkuasa di negara ini dalam mengekang jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan PATI berada pada tahap yang baik.

“Kita jangan pertikaikan tugas pihak berkuasa, mereka menjalankan tanggungjawab menjaga kedaulatan negara dengan sepenuh jiwa dan raga.

“Namun apa yang dikesali, Tindakan segelintir warga tempatan yang bertindak menjadi duri dalam daging, sekali gus merencatkan usaha pihak berkuasa dalam mencegah jenayah ini,” ujarnya.

Segelintir warga tempatan yang bertindak menjadi duri dalam daging merencatkan usaha pihak berkuasa dalam mencegah jenayah penyeludupan PATI.
Segelintir warga tempatan yang bertindak menjadi duri dalam daging merencatkan usaha pihak berkuasa dalam mencegah jenayah penyeludupan PATI.

Tambah beliau, isu penyeludupan PATI merupakan perkara yang amat memberikan kesan yang besar kepada rakyat Malaysia sekiranya warga asing tersebut masuk ke negara ini dengan niat buruk.

“Kita tidak salahkan mereka mahu datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan atau kehidupan lebih baik. Itu adalah sesuatu dibenarkan, cuma apa yang dibimbangkan sekiranya ada kalangan PATI ini sendiri yang mempunyai niat tidak baik atau rekod jenayah di negara asal mereka misalnya.

“Kemudian mereka masuk ke negara ini dengan niat bukan mencari rezeki tapi mahu melakukan jenayah dan sebagainya. Ini yang dirisaukan," katanya.

Tegas beliau, seharusnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini wajar dilabelkan sebagai pengkhianat dan bukannya penjenayah semata-mata.

“Harus diingat, mereka yang terlibat dalam sindiket penyeludupan PATI ini adalah pengkhianat kepada Malaysia. Tiada tempat bagi orang seperti anda di negara ini.

“Ia merupakan satu pembelotan terhadap negara dan mereka yang terlibat ini harus dihukum dengan hukuman yang keras,” katanya.

Ujar Kamal Affandi, seharusnya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, tidak sewenang-wenangnya melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Jangan sama sekali terlibat memberikan maklumat berkaitan pihak berkuasa kepada sindiket ini, membantu menyediakan penginapan atau pengangkutan dengan kadar bayaran tertentu. Sekiranya semua ini dilakukan, seolah-olah kita menggadaikan maruah negara untuk diinjak sewenangnya.

“Bantulah pihak berkuasa dalam soal pencegahan jenayah rentas sempadan ini. Tanggungjawab dipikul bukan terletak kepada pihak berkuasa semata.

“Tapi, rakyat itu sendiri harus bekerjasama dengan memberi maklumat terus kepada pihak berkuasa berkaitan jenayah penyeludupan PATI,” katanya.