Jentera BN Johor perlu ditambah baik hadapi PRU15: Tok Mat

Mohamad Hassan (kanan) dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera BN Johor pada Jumaat.
Mohamad Hassan (kanan) dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera BN Johor pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan ditambah baik jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini agar permasalahan dihadapi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana ketika PRN Johor pada awal tahun ini, BN negeri dibantu jentera dari seluruh negara sekali gus menutup segala kekurangan yang ada.

"Namun dalam PRU kelak, jentera negeri akan berhadapan secara berseorangan jadi kesiapsiagaan perlulah menyeluruh. Disebabkan ini semua parti komponen dan juga parti Friends of BN akan bergerak sebagai jentera BN dan bukannya mewakili parti masing-masing.

"BN adalah satu gabungan parti politik yang sah dan disebabkan itu kita akan menghadapi PRU ini dan bergerak sebagai satu pasukan, bukan jentera parti tetapi jentera BN," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera BN Johor, di Hotel Opero, di sini pada Jumaat.

Dari kiri Hasni, Mohamad (tengah) dan Onn Hafiz mengadakan sidang akhbar selepas perjumpaan dengan jentera BN Johor pada Jumaat.
Dari kiri Hasni, Mohamad (tengah) dan Onn Hafiz mengadakan sidang akhbar selepas perjumpaan dengan jentera BN Johor pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mohamad yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Johor berkata, jentera BN di sembilan buah negeri sudah sedia menghadapi PRU15.

Menurutnya, semua negeri berkenaan sudah dikunjunginya bagi sesi libat urus gabungan berkenaan dan berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, Johor antara jentera yang mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi.

"Boleh jadi kerana Johor baru lepas PRN, semangat masih tinggi kerana berjaya dengan cemerlang, semangat dan jawatankuasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga masih ada.

"Jika hendak diberitahu tahap kesiapsiagaan, Johor berada pada tahap lapan daripada sepuluh," katanya dan sembilan negeri berkenaan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Pulau Pinang.

Mohamad yang juga merupakan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan berkata, secara keseluruhannya tahap kesediaan jentera BN bagi menghadapi PRU15 adalah baik dan memuaskan.

"Daripada sembilan negeri yang telah dikunjungi untuk sesi libat urus ini, rata-rata sudah bersedia dengan tiada negeri yang berada pada tahap kesiapsiagaan bawah lima daripada 10," katanya.