Kadar inflasi negara terendah di Asia Tenggara: PM

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global maka kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4 peratus dan angka tersebut merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara.

"Bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor di tapak karnival di perkarangan Stadium Shah Alam pada Jumaat.

Hadir sama pada program Jelajah AKM edisi ke lapan itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022.

"Ini merupakan paras tertinggi sejak 2013, dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor," jelasnya.

Perdana Menteri juga berkata, selain itu, pada 2021, jumlah dagangan Malaysia buat pertama kalinya melepasi paras RM2 trilion, meningkat 24.9 peratus dari tahun sebelumnya berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

"Saya juga yakin pelabur asing terus berminat untuk menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun 2022, negara kita merekodkan nilai pelaburan langsung asing atau FDI sebanyak RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018," ujarnya.

Ismail Sabri berkata, kejayaan yang dicapai itu membuktikan ekonomi negara kini semakin pulih dan kerajaan terus komited dalam menjayakan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan Inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion dengan sasaran menawarkan 600,000 peluang pekerjaan yang dilancarkannya pada 19 Februari lalu telah merekodkan 400,000 jawatan telah diisi di seluruh negara sehingga kini.