KPM perlu perkemas SOP aktiviti rakaman hiburan di sekolah

Video tular yang mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk menyifatkan ia seperti merendah-rendahkan profesion seorang guru.
Video tular yang mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk menyifatkan ia seperti merendah-rendahkan profesion seorang guru.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan disaran supaya mengemas kini semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mana-mana pihak yang mahu melakukan rakaman hiburan di sekolah.

Pensyarah Pendidikan Jawatankuasa Pusat Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Bahagian Unit Kajian, Dr Sarifah Nurhanum Syed Sahuri berkata, ia bertujuan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan, malah meremehkan peranan dan prestij institusi pendidikan.

Justeru, beliau mengemukakan beberapa cadangan SOP yang perlu dikemas kini termasuklah kandungan rancangan perlu menonjolkan sekolah sebagai institusi pendidikan yang terbaik dan tidak mengandungi unsur-unsur keterlaluan dan sensitif.

“Selain itu, rakaman mestilah di luar waktu sekolah, bukan sewaktu sesi persekolahan berlangsung termasuk hari hujung minggu yang diadakan aktiviti sekolah seperti hari sukan dan lain-lain.

“Mengenakan denda pada kadar yang tinggi seperti RM10,000 bagi pihak yang tidak mematuhi SOP, malah mewujudkan jawatankuasa pemantau khas bagi projek-projek hiburan tersebut apabila dilakukan di sekolah.

“Diharap pandangan ini membantu pihak KPM memperkemas SOP sedia ada jika telah diguna pakai selama ini supaya masyarakat tidak memandang rendah, bahkan sewajarnya SOP ini lebih ketat berbanding SOP permohonan menempatkan guru pelatih di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas satu video tular yang memaparkan Wan Noor Baizura Bharudin atau lebih popular dengan gelaran 'Kak Long 7E' menjadi tunggangan penyanyi dangdut, Baby Shima, manakala usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pula di hadapan lagak seperti sedang menarik seekor lembu.

Jika dilihat dari cara berpakaian, Baby Shima dan Aliff Syukri merupakan anak murid, manakala Kak Long pula adalah seorang guru.

Justeru, timbul pelbagai reaksi netizen mengenai perkara tersebut dengan ada antara mereka menyifatkan ia seperti merendah-rendahkan profesion seorang guru.

Dalam pada itu, Sarifah Nurhanum berkata, tidak dinafikan bahawa bidang hiburan pastinya mempunyai idea kreativiti untuk menggambarkan maksud dan tujuan sesuatu lagu atau drama apabila menggunakan sekolah sebagai salah satu lokasi pilihan.

Bahkan katanya, ia mungkin memberi kelebihan atau keuntungan kepada pihak sekolah dalam mempromosikan sekolah itu sendiri atau dari segi bantuan kewangan.

“Namun perlu kita ingat, sekolah dibina dengan matlamat yang lebih besar iaitu mendidik, melahirkan generasi seperti dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), malah banyak aktiviti kompleks yang berlaku dalam sekolah dan bilik darjah.

“Sering kali cerita cinta di sekolah dipaparkan dalam lagu, filem serta drama dan itulah yang tertanam dalam minda anak dan masyarakat kita yang menonton.

“Apatah lagi kalau unsur-unsur yang keterlaluan melalui babak-babak seperti rogol, buli melampau, aktiviti berunsur seksual turut dilakukan di sekolah. Babak ini bukan sahaja ditonton dalam bentuk rakaman, tetapi bayangkan pelajar yang menonton secara langsung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan membenarkan aktiviti hiburan di sekolah perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat mengenai peranan sekolah itu sendiri.