KUSKOP galak tubuh koperasi di sekolah swasta integrasi

Noh (empat dari kiri) menandatangani plak pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Islam Az Zahrawi Puncak Alam di pekarangan sekolah itu pada Jumaat.
Noh (empat dari kiri) menandatangani plak pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Islam Az Zahrawi Puncak Alam di pekarangan sekolah itu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan pembabitan koperasi dalam menyediakan peluang pendidikan sekolah integrasi swasta sebagai salah satu cabang perniagaan pada masa depan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini, kewujudan sekolah integrasi jarang dipelopori koperasi di seluruh negara kerana diusahakan pihak swasta.

"Koperasi jangan tertinggal dalam dunia pendidikan kerana di pihak KUSKOP sendiri telah pun menubuhkan Universiti Koperasi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sekolah Rendah Islam Az Zahrawi Puncak Alam di pekarangan sekolah itu pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, KUSKOP mengenal pasti satu-satunya koperasi yang memberi tumpuan dalam penubuhan sekolah ialah Koperasi Felda Bukit Cherakah Selangor Berhad.

"Koperasi ini menubuhkan Sekolah Rendah Islam Az Zahrawi Puncak Alam menyediakan pendidikan pra sekolah integrasi membabitkan seramai 69 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

"Selain itu, sekolah rendah integrasi melibatkan murid tahun satu hingga enam membabitkan seramai 213 murid," ujarnya

Menurut beliau, sekolah yang mempunyai enam bangunan di Puncak Alam dengan menggunakan sukatan pelajaran mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu boleh dijadikan contoh kepada koperasi lain untuk menyediakan pendidikan sekolah integrasi swasta.

Noh menjelaskan, pembabitan koperasi dalam penawaran penyediaan sekolah integrasi swasta amat digalakkan terutama di kawasan bandar.

Katanya, pada masa ini bilangan pelajar di kawasan bandar terlalu ramai hingga pembukaan sekolah integrasi swasta menjadi satu keperluan penting.

"Saya difahamkan di Puncak Alam ini sahaja seramai 3,000 murid sekolah rendah dan jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa lebih-lebih Kuala Selangor sudah dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor yang tentunya Puncak Alam menjadi tumpuan utama.

"Ini membuktikan permintaan terhadap sekolah terlalu tinggi disebabkan jumlah peningkatan murid dan pembukaan lebih banyak sekolah tentunya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendapatkan pendidikan sempurna," katanya.