Haramkan juga produk talkum jenama tempatan: CAP

KKM digesa supaya mengharamkan bedak bayi berasaskan talkum import yang lain dan yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan susulan syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023. Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Mohideen)
KKM digesa supaya mengharamkan bedak bayi berasaskan talkum import yang lain dan yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan susulan syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023. Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa supaya mengharamkan bedak bayi berasaskan talkum import yang lain dan yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan susulan syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, KKM perlu melaksanakan larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan bukannya sehingga tahun hadapan.

Menurutnya, bekalan produk sedia ada yang mengandungi talkum itu perlu dikembalikan semula kepada pengilang masing-masing untuk mendapatkan semula bayaran balik.

"Johnson & Johnson akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia kerana syarikat tersebut berdepan banyak tindakan undang-undang mengenai keselamatan pengguna. Syarikat itu juga telah menghentikan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) lebih dua tahun lalu.

"Kajian yang dijalankan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat baru-baru ini mendapati, talkum itu mengandungi kesan serat seperti asbestos yang diketahui menyebabkan kanser dan tumor, malah dianggap karsinogenik. Ini sepatutnya menjadi alasan untuk mengharamkan penggunaan talkum lebih awal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohideen berkata, larangan penggunaan talkum dalam produk lain juga harus dilaksanakan.

"Produk yang mengandungi talkum juga harus diharamkan antaranya pemerah pipi, bedak asas, pembayang mata, bedak muka, maskara, celak, pensel kening dan gincu. Semua produk ini mengandungi bahan karsinogen.

"Kajian mendapati, zarah talkum mampu untuk bergerak sehingga ke sistem reproduktif dan berupaya membenamkan dirinya ke dalam lapisan ovari. Penyelidik mendapati bahawa wanita yang menghidap kanser ovari telah menggunakan bedak talkum di kawasan kemaluan mereka lebih kerap daripada wanita yang sihat," katanya.

Sehubungan itu, Mohideen menasihatkan pengguna agar tidak menggunakan produk yang mengandungi talkum atau magnesium silikat dalam bahannya.

Beliau berkata lagi, terdapat bedak bayi berasaskan tepung jagung, serbuk beras (bedak sejuk) atau tumbuhan aloe vera sebagai alternatif yang lebih selamat.

Sebelum ini, Johnson & Johnson (J&J) mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023.

Syarikat itu mengumumkan perkara itu selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di AS yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna.

Pada 2020, Johnson & Johnson mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi talkum di AS dan Kanada kerana permintaan merosot berikutan apa yang ia gelar 'maklumat salah mengenai keselamatan produk ketika banyak saman mengenainya'.

Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 tindakan saman daripada pengguna dengan mereka yang terselamat mendakwa produk talkumnya menyebabkan barah akibat pencemaran dengan asbestos, sejenis karsinogen yang diketahui.

Syarikat itu menafikan dakwaan terbabit, mengatakan ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas asbestos.