Cadangan pinda AUKU khianati semangat Undi18

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai usaha menarik semula kebebasan berpolitik termasuk di dalam kampus yang diberikan kepada mahasiswa.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, tindakan itu nyata bercanggah dengan semangat perlaksanaan Undi18 yang baru diperkenalkan di negara ini.

Justeru menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa menghentikan 'kegilaan' yang berlaku melalui beberapa siri pengkhianatan demokrasi melalui Undi18.

"Dalam minggu ini negara kita dikejutkan dengan beberapa cubaan mengekang kebebasan berpolitik mahasiswa yang merupakan salah satu kumpulan pengundi muda kali pertama atau Undi18 melalui satu cadangan pengenalan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik di Dalam dan di Luar Kampus) 2022.

"Melalui Peraturan ini, sebarang aktiviti politik, sama ada secara partisan atau tidak partisan tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada pihak universiti.

"Ia termasuk larangan untuk menubuhkan ranting atau cawangan parti politik di dalam kampus dan ketiadaan tafsiran yang jelas terhadap beberapa istilah penting seperti 'parti politik' yang membuka ruang kepada salah guna peraturan untuk mengekang kebebasan mahasiswa berpolitik dan berkegiatan.

"Hal ini dilihat seperti satu usaha merekayasa peraturan dan hukum semasa untuk menimbus dan menarik semula kebebasan berpolitik termasuk di dalam kampus yang diberikan kepada mahasiswa pasca pindaan kepada Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada tahun 2019 sekali gus mengkhianati semangat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas untuk mengundi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, objektif Undi18 perlu dipenuhi dengan membenarkan pengundi muda mengundi dan memberikan kebebasan untuk mereka meneroka serta mengetengahkan pandangan sebagai salah satu proses melahirkan pengundi muda yang matang tanpa sekatan yang tidak munasabah.

"Sesungguhnya, segala Jawatankuasa yang ditubuhkan dan program-program kesedaran mengundi dalam kalangan pengundi muda kali pertama atau Undi18 yang diusahakan kerajaan tidak akan berhasil sekiranya dalam masa yang sama kerajaan cuba mengekang kebebasan pengundi muda kali pertama ini daripada berkegiatan dalam politik.

"Sama ada secara partisan atau tidak partisan, melalui rekayasa undang-undang dan hukum yang secara sistematik memandulkan kematangan pengundi muda kali pertama ini," katanya.