PM cetus lembaran baharu hubungan Malaysia-Indonesia

Ismail Sabri membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara serumpun Malaysia-Indonesia dengan lawatan sulung beliau ke Jakarta pada 10 November 2021. - Gambar fail
Ismail Sabri membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara serumpun Malaysia-Indonesia dengan lawatan sulung beliau ke Jakarta pada 10 November 2021. - Gambar fail
A
A
A

JAKARTA - Penganalisis dan media di Indonesia serta diplomat Malaysia melihat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai berhemah dan pragmatik dalam memperkukuh hubungan ekonomi, sosial dan budaya antara kedua-dua negara itu.

Malah, hasil usaha beliau dilihat memberangsangkan walaupun dalam tempoh singkat kurang setahun selepas dlilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-9.

Usaha membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara serumpun itu bermula dengan lawatan sulung beliau ke Jakarta pada 10 November 2021, untuk bertemu Presiden Joko Widodo.

"Kita lihat hubungan dua negara, seumpama adik-beradik, sedang dikendalikan dengan baik oleh PM Ismail Sabri dan hubungan antara masyarakat kedua-dua negara saat ini masih terkawal," kata pakar komunikasi dan politik, Hendri Satrio akan hubungan diplomatik dua negara itu yang menjangkau 65 tahun pada tahun ini.

Sentimen negatif timbul seketika apabila Indonesia menghentikan kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia pada Julai dan Malaysia menyatakan masih mempunyai 15 negara sumber buruh yang lain, namun akhirnya dapat diselesaikan dengan baik, katanya.

Dengan semua masalah diatasi, pensyarah Universiti Paramadina di Jakarta Selatan itu merasakan, "Indonesia mempunyai hubungan yang sangat mesra dengan Malaysia saat ini.”

Hendri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi Ismail Sabri sejak mengambil alih kepimpinan Malaysia pada 20 Ogos lepas di tengah-tengah lonjakan wabak COVID-19.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan berkat, PM Malaysia itu sentiasa memperlihatkan komitmen untuk memperkuat hubungan dua negara.

Di sisi lain, beliau berkata, kekuatan menjaga keharmonian politik di Malaysia merupakan salah satu keunggulan Ismail Sabri dan pemimpin yang berpegang pada janji.

"Dilantik sebagai PM tahun lalu di saat kondisi politik tidak stabil. Selama tiga tahun, tiga kali PM berganti. Kini, hampir setahun kepemimpinan Ismail Sabri, situasi politik relatif stabil, tanpa gejolak," jelasnya.

Menurut Asro, perdana menteri yang sangat faham akan peranan media massa menyuarakan tekad untuk menjayakan Hari Wartawan Malaysia (HAWANA) kedua semasa pertemuan dengan 17 ketua pengarang media utama Indonesia tahun lalu.

"Janji itu dipenuhi PM Ismail Sabri di Melaka pada 29 Mei 2022," katanya.

Sehari setelah itu, Asro bersama 15 pemimpin redaksi media Indonesia dan pengurusan ISWAMI diundang perdana menteri ke Putrajaya yang disusuli makan tengah hari dan dijamu dengan "diplomasi durian".

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq berkata, dua kali lawatan ke Indonesia dalam tempoh empat bulan membawa hubungan kedua-dua negara ke tahap baharu.

Di bawah kepimpinan Ismail Sabri, memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) yang lama tertangguh ditandatangani.

"PM melawat kilang produk ketenteraan Indonesia, PT Pindad di Bandung tahun lepas dan mendorong kerjasama pertahanan, hasilnya MoU pertahanan termeterai minggu lepas,” kata Adlan.

Kini, kerjasama Malaysia-Indonesia berkembang sama ada dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan menangani naratif negatif terhadap minyak sawit.

"Hubungan yang baik antara kedua membolehkan banyak syarikat Malaysia berjaya menembusi pasaran Indonesia dan juga syarikat-syarikat Indonesia ke Malaysia," katanya. - Bernama