Pencarum ditawar pengeluaran khas Jubli Emas LTAT sehingga RM500

Hishammuddin (tengah) mengibar Jalur Gemilang pada Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan 2022. - Foto Bernama
Hishammuddin (tengah) mengibar Jalur Gemilang pada Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ditawarkan pengeluaran khas Jubli Emas LTAT secara ‘one-off’ sehingga RM500, demikian diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penawaran itu merupakan hasil inisiatif transformasi LTAT susulan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, baru-baru ini.

Katanya, permohonan pengeluaran berkenaan boleh dibuat melalui aplikasi MyWira mulai 10 Oktober hingga 10 Disember ini dan bayaran fasa pertama akan dibuat pada 19 hingga 23 Disember.

"Penawaran ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa serta pengorbanan warga Mindef (Kementerian Pertahanan) khususnya pencarum,” katanya selepas melancarkan sambutan Jubli Emas ke-50 LTAT di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, hasil pindaan rang undang-undang yang diluluskan 11 Ogos lepas, ia telah membolehkan LTAT menambah baik dan memperkukuh empat aspek penting kepada anggota tentera dan LTAT sendiri.

Katanya, ia termasuk perlindungan sosial pencarum, tadbir urus dan pelaburan LTAT dan dividen.

Selain itu, Hishammuddin juga mengumumkan sumbangan dana tambahan sebanyak RM2 juta kepada LTAT sempena sambutan Hari Pahlawan 2022 daripada lima syarikat tempatan iaitu Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd, Affin Bank Berhad, Boustead Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad dan LBS Foundation.

Dalam konteks kesiapsiagaan, katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima dua lagi pesawat CN235 bulan depan dengan satu daripada tiga pesawat itu sudah ditempatkan di bawah No. 1 Skuadron di Pangkalan Udara Kuching. - Bernama