Tak bayar parkir, enam individu didenda

Mahkamah Majistret Telok Datok.
Mahkamah Majistret Telok Datok.
A
A
A

KUALA LANGAT - Padah gagal membayar parkir, seramai enam individu didenda antara RM150 hingga RM300 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok pada Rabu.

Mereka dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Dua daripada didenda maksimum RM300, manakala seorang lagi RM180 dan selebihnya RM150.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh telah membayar denda tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hasrizal Abd Rahim, manakala tertuduh-tertuduh tidak diwakili peguam.

Menerusi satu kenyataan, MPKL telah memberikan tawaran diskaun bayaran kompaun parkir sehingga 9 September depan sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL.

Menurut kenyataan itu, tawaran bagi setiap kompaun sebelum tahun 2019 adalah sebanyak RM15, manakala tahun 2020 hingga 2022 ialah sebanyak RM10.

Katanya, semua pihak boleh membuat bayaran secara dalam talian melalui Aplikasi Smart Selangor Parking.