Agong berkenan melawat FNSS Defence Systems A.S di Turkiye

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat melawat salah satu syarikat pemain utama industri Pertahanan Turkiye, FNSS Defence System A.S pada Rabu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat melawat salah satu syarikat pemain utama industri Pertahanan Turkiye, FNSS Defence System A.S pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan melawat sebuah daripada syarikat pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems A.S di sini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye, Halusi Akar dan Ketua Eksekutif FNSS, Gurol Carmikli.

Al-Sultan Abdullah kemudian diberi persembahan taklimat dan pertunjukan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan oleh syarikat FNSS.

Semasa lawatan itu juga, Seri Paduka Baginda berkenan menaiki dua kenderaan perisai milik FNSS.

FNSS merupakan syarikat yang bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) milik syarikat tempatan membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan di Pekan, Pahang.

Kenderaan berperisai Adnan, yang digunakan oleh Kor Amor Diraja Tentera Darat sejak 20 tahun lepas, diambil sempena nama seorang askar Melayu, Leftenan Adnan Saidi yang terlibat dalam pertempuran di Singapura semasa Perang Dunia II.

Malaysia sebelum ini telah memesan dan menerima sebanyak 267 unit ACV-300 dalam pelbagai versi.

Al-Sultan Abdullah turut menikmati santapan tengah hari bersama Menteri Pertahanan Turkiye dan barisan pengurusan tertinggi FNSS.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal. - Bernama