Korea Utara lancar 2 peluru berpandu ke arah perairan barat

Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu ke arah perairan barat. - Foto Reuters
Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu ke arah perairan barat. - Foto Reuters
A
A
A

SEOUL - Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu ke arah perairan barat, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan pada Rabu.

Seorang pegawai kementerian yang enggan dikenali berkata, tentera Korea Selatan mengesan dua peluru berpandu jelajah milik Korea Utara yang dilancarkan pada waktu subuh dari kawasan pantai barat, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa Korea Selatan dan Amerika Syarikat dilaporkan sedang membuat penilaian mengenai pelancaran dua peluru berpandu itu.

Ia merupakan pelancaran peluru berpandu jelajah kedua oleh Korea Utara tahun ini sejak Januari.

Bagaimanapun, ia tidak melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang melarang Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik.

Ujian peluru berpandu itu berlaku sehari selepas tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat memulakan latihan bersama empat hari menjelang latihan Ulchi Freedom Shield (UFS) iaitu latihan ketenteraan musim panas antara dua sekutu melibatkan gerak kerja di lapangan.

Korea Utara telah mengecam latihan itu sambil mendakwa ia merupakan latihan lengkap sebelum menceroboh utara. - Bernama