MARC sahkan penarafan program BDB tempoh lima tahun

Mohd Iskandar
Mohd Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) mengesahkan penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) Bina Darulaman Bhd (BDB) bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, penarafan itu diberikan berdasarkan pemilikan tanah BDB sedia ada bagi tujuan pembangunan hartanah, kecairan yang mencukupi untuk memenuhi operasi jangka pendek dan komitmen kewangan, aliran keuntungan stabil daripada kontrak penyelenggaraan jalan serta peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan.

Katanya, status BDB selaku entiti milik kerajaan Kedah, telah meletakkan mereka dalam kedudukan baik untuk memperoleh kontrak pembinaan negeri yang merupakan antara faktor utama BDB dipertimbangkan sebagai pilihan utama.

“Kajian MARC mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan yang lancar untuk syarikat dan penjanaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

“Pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB yang dirangka untuk menangani keadaan operasi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 adalah sebab utama mengapa BDB telah muncul pada kedudukan kewangan dan operasi lebih kukuh pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Dalam pada itu, ulas Mohd Iskandar, kunci kepada kejayaan BDB adalah penstabilan perdapatan, pengoptimuman kos, kecekapan operasi, pendigitalan dan pembangunan modal insan yang telah mewujudkan peningkatan daya saing serta dinamisme.

“Ketahanan, fokus tinggi dan keazaman kami telah menunjukkan kemampuan yang boleh dicapai apabila kami bangkit daripada pandemik ini untuk menjadi perniagaan yang lebih baik.

“Normalisasi terhadap rantaian bekalan dan penyambungan semula perniagaan, kepada operasi seperti sedia kala dapat mengatasi permintaan yang meningkat untuk setiap produk dan perkhidmatan,” katanya.

Tambah beliau, BDB meneruskan usaha mengimbangi semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan bagi memastikan kesinambungan serta daya tahan syarikat.

“Perniagaan teras BDB iaitu Pembangunan Hartanah dan Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) berada di kedudukan yang baik untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam kondisi perniagaan yang semakin baik ini.

“Divisyen hartanah BDB akan memberi tumpuan untuk membuka potensi nilai pemilikan tanah dengan membangunkan perbandaran sedia ada dan membina perbandaran perumahan mampu milik baru bersama rakan kongsi kami.

“Pada masa sama, ECQ akan terus mengukuhkan aliran pendapatan stabil daripada projek penyelenggaraan jalan negeri yang sedang berlangsung dan meningkatkan permintaan untuk operasi kuarinya,” katanya.