LCS: Tubuh sidang khas Parlimen cari penyelesaian bipartisan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu sidang khas Parlimen diperlukan untuk menentukan hala tuju sektor pertahanan dalam usaha menyelesaikan skandal berhubung isu penyelewengan membabitkan perolehan aset ketenteraan negara.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sidang khas itu penting dalam membentuk kerjasama bipartisan kerana perancangan pertahanan negara memerlukan perhatian semua pihak untuk jangka masa panjang walaupun kerajaan bertukar tangan.

"Perancangan berkaitan ketenteraan perlu ada semua parti dan tidak boleh hanya untuk tempoh masa pendek kerana kerajaan bertukar-tukar, nilai berbillion ringgit dan melangkaui satu penggal.

"Sidang khas ini bukan untuk menunding jari tetapi kita buat satu kertas putih supaya walaupun ada perubahan pekerjaan tetapi bab pembelanjaan ketenteraan perlulah cekap, adil dan dapat dilaksanakan tidak kira siapa pun menteri pertahanan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang berhubung kehadirannya pada perhimpunan Mana Kapal LCS di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini Ahad lalu.

Syed Saddiq berkata, pendakwaan berhubung kes penyelewengan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) perlu dibuat segera ke atas semua pihak yang terlibat dan tidak hanya pada watak-watak kecil sedangkan dalang utama terlepas tanpa hukuman.

"Apa lagi nak tunggu? Nama-nama sudah keluar dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan audit forensik telah dijalankan jadi ambil tindakan terus ke atas nama-nama tersebut," katanya.

Tambahnya, perjuangan membanteras penyelewengan dalam sektor ketenteraan ini tidak bermakna pihaknya menidakkan hak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dilengkapi dengan peralatan pertahanan terkini.

Beliau berkata, peruntukan pertahanan harus dikekalkan pada kadar sepatutnya dan tidak perlu dikurangkan hanya kerana pembongkaran skandal LCS sebaliknya wang terbabit perlu diurus dengan bertanggungjawab.

"Ambil duit itu dan pastikan setiap sen peruntukan dibelanjakan dengan baik kerana bukan sahaja pendidikan dan kesihatan sahaja perlu peruntukan tetapi dalam ketenteraan juga kita perlu lengkapkan secukup mungkin," ujarnya.