12 pelatih Pahang Talent sedia berkhidmat

Wan Rosdy (duduk, tengah) bersama barisan Exco Kerajaan Pahang dan 12 pelatih Pahang Talent.
Wan Rosdy (duduk, tengah) bersama barisan Exco Kerajaan Pahang dan 12 pelatih Pahang Talent.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 12 pelatih Pahang Talent sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memulakan tugas di bawah bimbingan barisan Exco Kerajaan Pahang bermula pada Selasa.

Nur Atiqah Mahasan, 23, mengakui segala persiapan sudah dibuat selepas mendapat latihan daripada Yayasan Pahang mengenai pentadbiran Pahang sejak sebulan lalu.

Dia yang akan memulakan tugas di bawah Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah bersyukur kerana terpilih sebagai pelatih Pahang Talent daripada 400 graduan anak Pahang yang memohon.

“Saya bukan datang dari keluarga yang senang dan bila ada peluang sebegini saya tidak akan mempersia-siakan.

"Sudah pasti saya akan memberikan perkhidmatan terbaik buat Kerajaan Pahang sepertimana yang telah dipertanggungjawabkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pegawai Pelatih Pahang Talent 2022 di kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Selasa.

Majlis terbabit telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Rosdy menjelaskan kesemua mereka akan menjalani latihan selama 12 bulan bagi menimba pengalaman dan pendedahan industri secara terus di bawah pimpinan Exco.

Jelasnya, 12 pelatih yang ditempatkan di bawah Exco Kerajaan Pahang dipilih secara rawak dan berdasarkan kemahiran dan latar belakang pengajian masing-masing.

“Kumpulan pertama ini terdiri daripada graduan lulusan institusi pengajian tinggi awam tahun 2021/2022 dalam pelbagai bidang.

“Antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat, bahasa dan linguistik Arab, sains kimia dan undang-undang dengan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Rakyat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan Permata Pintar.

“Mereka telah dilatih secara intensif baik secara mental dan fizikal dengan pengisian program yang berkualiti antaranya seperti pendedahan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri, penulisan kertas kerja dan kursus-kursus berkaitan integriti, protokol dan etika selain terlibat dalam aktiviti sukarela,” katanya

Wan Rosdy juga berkata, selepas tamat menjalani latihan industri, mereka akan diserap bekerja dengan Exco Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang atau Jabatan Kerajaan Negeri Pahang yang berkaitan berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan.

“Harap ini menjadi permulaan yang baik buat 12 pelatih yang terpilih ini sekali gus mengambil peluang untuk mencari pengalaman, mengembangkan bakat dan potensi diri seterusnya berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.