GPMS Kuala Kedah edar 100 bendera sempena Bulan Kemerdekaan

Amirul Syahir (kanan) melekatkan bendera pada kereta milik pengunjung stesen minyak di Kuala Kedah untuk menyemarakkan bulan Kemerdekaan.
Amirul Syahir (kanan) melekatkan bendera pada kereta milik pengunjung stesen minyak di Kuala Kedah untuk menyemarakkan bulan Kemerdekaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah mengedarkan 100 bendera kereta secara percuma untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 pada tahun ini.

Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, bendera berkenaan diedarkan kepada pengunjung di salah sebuah stesen minyak di Kuala Kedah.

Katanya, program terbabit dianjurkan setiap tahun dan melibatkan golongan belia untuk menanamkan semangat patriotisme dalam golongan terbabit.

"Tahun ini beberapa orang belia daripada Ahli Jawatankuasa CDERT GPMS Kuala Kedah turut bersama kita untuk menjayakan program in," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kesedaran perlu diberikan kepada belia dan masyarakat setempat supaya memahami erti kemerdekaan negara yang dikecapi pada hari ini.

"Sebagai generasi yang masih ada, aktiviti sebegini haruslah dijadikan sebagai salah satu penanda aras kepada bangsa bertamadun untuk terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang merdeka.

"Belia adalah harapan negara, dan kita perlukan pemimpin masa hadapan yang mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi," katanya.