PTD perlu kekalkan profesionalisme

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Datuk Isham Ishak (tiga, kanan) melancarkan My PPTD Care di Putrajaya pada Rabu.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Datuk Isham Ishak (tiga, kanan) melancarkan My PPTD Care di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) perlu mengekalkan profesionalisme dalam meneraju sesebuah kementerian dan jabatan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Datuk Isham Ishak berkata, langkah itu perlu dikekalkan agar mereka mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.

"Profesional adalah bermaksud tidak mempunyai apa-apa pembahagian dari segi sokongan terhadap mana-mana parti politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program My PPTD Care di Putrajaya, pada Rabu.

Menurutnya, sebagai penasihat kepada menteri, PTD juga perlu menghayati dasar-dasar kerajaan dalam mendepani cabaran semasa.

"Apabila faham, kita akan dapat ilhamkan apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob inginkan, jadi saya yakin PTD dapat menangkis komen-komen warga maya di media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Ismail Sabri bahawa penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.

Kata Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan kakitangan awam perlu membantu ke arah kejayaan negara dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan, bukannya mempertahankan parti politik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai My PPTD Care, Isham berkata, ia merupakan inisiatif PTTD melalui kerjasama awam, swasta bagi membantu ahli persatuan melalui skim perlindungan insurans dan lain-lain.

Terdapat seramai 10,500 PTD di seluruh negara dan 6,844 pegawai yang mendaftar sebagai ahli PPTD.

"Program My PPTD Care merupakan salah satu kemudahan ditawarkan kepada ahli PPTD dengan perlindungan sehingga RM1juta.

"Saya sarankan pegawai-pegawai muda PTD merebut peluang ini dengan menyertai kami sebagai ahli," katanya.