Kanak-kanak warga Perancis maut disengat ubur-ubur

Seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun maut disengat ubur-ubur ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor pada Isnin. -Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Nor Omar)
Seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun maut disengat ubur-ubur ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor pada Isnin. -Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Nor Omar)
A
A
A

LUMUT- [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun maut disengat ubur-ubur ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, anggota polis menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada jam 7.28 petang daripada petugas Klinik Kesihatan Pangkor.

"Siasatan awal mendapati mangsa dan keluarganya datang melancong dan menginap di salah sebuah hotel di pulau itu pada hari kejadian.

"Mangsa mandi sekitar jam 6.45 petang sebelum terdengar dia menjerit kesakitan. Orang awam berhampiran telah membantu membawa mangsa ke pantai," katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lilitan dipercayai sengatan ubur-ubur pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan 'jellyfish envenomation'," katanya.

Nor Omar berkata, kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.