Demonstrasi harga barang: Ketua Pemuda Amanah didakwa esok

Himpunan Barang Naik yang diadakan di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat pada 1 Julai lalu membantah kenaikan mendadak harga bahan makanan. (Gambar dalam : Hasbie Muda)
Himpunan Barang Naik yang diadakan di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat pada 1 Julai lalu membantah kenaikan mendadak harga bahan makanan. (Gambar dalam : Hasbie Muda)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda bakal didakwa di mahkamah pada Khamis ekoran penganjuran demonstrasi Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Pengerusi Peguam Muda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda memaklumkan pendakwaan akan dilakukan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok.

“Kami difahamkan Hasbie akan dituduh di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkaitan demonstrasi Aman Turunkan Harga Barang yang diadakan di Masjid Kampung Baru pada 1 Julai 2022 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan oleh pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.