[VIDEO] Amanah beri tempoh 11 hari, tuntut kerajaan atasi kenaikan harga

Khalid menyampaikan amanat pada Himpunan Barang Naik di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat.
Khalid menyampaikan amanat pada Himpunan Barang Naik di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) memberikan tempoh 11 hari kepada kerajaan untuk menunaikan tiga tuntutan bagi mengatasi isu kenaikan harga.

Pengarah Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, tiga tuntutan itu adalah mengembalikan subsidi makanan yang dipotong oleh kerajaan, menghapuskan sistem permit import (AP) makanan dan menuntut kerajaan mengadakan satu sidang khas Parlimen.

Menurutnya, sidang khas tersebut bagi membolehkan semua ahli Parlimen membincangkan isu bekalan serta harga makanan bagi mencari solusi terbaik.

"Amanah tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan dalam skala besar di seluruh negara pada 16 Julai ini jika tuntutan itu tidak diberikan perhatian oleh kerajaan.

"Kerajaan pada hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat. Harga ayam di bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan) hanya RM5.90 satu kilogram (kg) tetapi tetapi sekarang di bawah BN harganya menjadi RM9.40," katanya pada Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat.

Hampir 100 orang menghadiri himpunan aman yang bermula jam 2 petang sebelum disuraikan oleh anggota polis kira-kira 30 minit kemudian.

Turut hadir pada himpunan itu termasuk Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah, Faiz Fadzil.

Sementara itu Khalid berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang boleh bertindak mengatasi masalah yang timbul dan bukan sekadar memberikan alasan punca masalah kenaikan harga barang.

"Ada beberapa pilihan yang boleh diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu harga barang dalam negara. Ini bukan masalah baharu, sepatutnya kerajaan telah merangka pelan untuk atasi masalah ini.

"Saya lihat keutamaan kerajaan sekarang bukan soal rakyat, tetapi pergolakan dalam UMNO yang melibatkan pergaduhan yang tidak melibatkan kepentingan rakyat.

"Maka himpunan pada hari ini, kita tuntut tiga perkara, jika ia tidak diambil peduli maka kita tiada pilihan yang lain selain mengerahkan mobilisasi di seluruh negara menyeru rakyat bangkit menghukum kerajaan," katanya.