Ahli perniagaan didakwa ubah wang haram lebih RM2 juta

Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, pada Rabu.
Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, pada Rabu.
A
A
A

RAUB - [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2,042,628.84 pada Rabu.

Tertuduh, Norida Syakira Agus Yadi, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan wang berjumlah RM1,317,658.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat tertuduh, DSS Berkat Enterprise bagi tujuan pembelian perniagaan Sushi Go milik Chang Yi Hern.

Dia didakwa melakukan kesalahan antara 16 Mei 2021 dan 10 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memindahkan wang berjumlah RM242,770 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun Maybank Islamic Berhad milik Mohamad Hanif Omar.

Kali ini tertuduh didakwa melakukan kesalahan antara 8 Januari 2021 dan 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah memindahkan wang berjumlah RM369,700 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 Januari 2021 dan 1 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan sama.

Seterusnya, tertuduh didakwa telah memindahkan wang berjumlah RM32,500 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepasa akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik tertuduh antara 31 Januari 2021 hingga 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan sama.

Untuk pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat sama melalui sekeping cek.

Kali ini dia didakwa melakukan kesalahan pada 17 Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal meminta tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM500,000 namun peguam tertuduh, M Manoharan meminta jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh dan suaminya tidak lagi bekerja serta masih menanggung dua anak berusia lapan tahun dan setahun.

Rohaiza juga meminta supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ahmad Faizadh kemudian menetapkan ikat jamin keseluruhan RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan serta membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tertuduh dilihat menangis dan difahamkan ikat jamin dilunaskan oleh suaminya yang hadir ke mahkamah.