Lapan PATI dicekup selepas beberapa jam sampai KL

Antara PATI diperiksa dalam operasi pada Rabu.
Antara PATI diperiksa dalam operasi pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama seorang tekong darat dicekup dalam Ops Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya beberapa jam sejurus tiba di Pasar Borong Kuala Lumpur dari utara, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua PATI terbabit ditahan dalam operasi bersepadu PDRM bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di pasar borong tersebut.

"Kami memeriksa 400 orang di sekitar pasar borong ini dan hasil operasi berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai tekong darat warga tempatan berusia 40-an serta lapan PATI yang baru sampai di pasar borong ini.

"Mereka dipercayai tiba sekitar jam 5 pagi tadi dari utara dan dibawa oleh seorang lelaki tempatan berusia sekitar 40-an," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, pada Rabu.

Yahaya berkata, operasi bersepadu tersebut dijalankan untuk membanteras kegiatan gengsterisme, kongsi gelap dan pengedaran dadah dalam kalangan warga asing selain mengekang kemasukan PATI di sekitar kawasan terbabit.

"Kita buat ujian urin kepada mereka yang diperiksa dan hasilnya kita mengesan seramai 18 individu didapati positif dadah.

"Dari segi aktiviti gangsterisme di sini didapati tiada mana-mana pihak yang memonopoli kawasan ini, cuma mereka lebih kepada bersaing mendapatkan kerja dan berlumba-lumba menguasai pasaran perniagaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak polis akan terus membuat pemantauan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang menjadi tumpuan PATI dari masa ke semasa untuk memastikan keselamatan semua pihak di pasar borong tersebut.