Hutang luar kemampuan punca muflis

A
A
A

No Image Caption

Menjadi muflis bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan. Apabila muflis, seseorang individu itu tiada lagi kuasa terhadap kewangan sendiri, malah aset milik mereka mungkin dilelong untuk melangsaikan hutang.

Mereka yang muflis akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi termasuk berdepan beberapa sekatan seperti akaun simpanan dan pelaburan dibekukan, tidak dibenarkan keluar negara serta tidak dibenarkan berbelanja lebih RM1,000 menggunakan kad kredit.

Semua aset seperti rumah dan kereta besar kemungkinan akan disita kemudian dilelong untuk membayar balik hutang. Walaupun begitu, mereka yang muflis masih perlu bekerja tetapi gaji yang diterima sebahagian besarnya akan diperuntukkan untuk membayar hutang.

Data muflis 2018 hingga Mei 2022 yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) baru-baru ini menunjukkan bahawa pinjaman peribadi merupakan punca utama yang menyebabkan seseorang itu menjadi muflis dengan jumlah kes sebanyak 19,334 atau 41.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Ini diikuti oleh sewa beli kenderaan sebanyak 6,843 kes atau 14.83 peratus, manakala pinjaman perniagaan pula membabitkan 6,242 kes atau 13.53 peratus dan kad kredit sebanyak 3,850 kes atau 8.35 peratus.

Statistik ini juga menunjukkan individu berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai bankrap iaitu sebanyak 37.31 peratus atau 17,213 kes, diikuti mereka yang berusia antara 45 hingga 54 tahun dengan 25.86 peratus atau 11,928 kes. Golongan berusia 25 hingga 34 tahun pula membentuk 21.49 peratus atau 9,913 kes.

Sekiranya dikaji pinjaman yang menjadi punca utama muflis, secara umumnya boleh dikatakan ia disebabkan oleh pinjaman yang mudah diperoleh dan mengenakan caj faedah yang agak tinggi. Oleh kerana ia mudah diperoleh, kemungkinan besar pinjaman berkenaan diambil untuk membeli perkara tidak perlu atau di luar kemampuan.

Antara punca utama seseorang itu bankrap ialah kegagalan mengurus dan mengambil hutang berdasarkan kemampuan semasa dan tidak melihatnya sebagai satu komitmen jangka panjang. Malah, ada yang mengambil pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit untuk tujuan bermewah-mewah semata-mata.

Walaupun begitu, tidak dinafikan persekitaran semasa seperti pandemik Covid-19, kehilangan pekerjaan, sakit atau kenaikan harga barang juga boleh menyebabkan seseorang itu gagal melangsaikan pinjaman sedia ada kerana gaji yang diterima tidak cukup untuk membiayai kehidupan.

No Image Caption

Pastinya tiada siapa pernah menyangka pandemik Covid-19 akan melanda, harga ayam meningkat kepada RM9.40 sekilogram, manakala harga minyak masak meningkat antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

Semua ini memang memberi kesan kepada kedudukan kewangan seseorang, namun hutang tidak akan terpadam begitu sahaja meskipun berlakunya perkara luar dugaan. Malah ia kekal sebagai satu komitmen sehinggalah diselesaikan.

Justeru, dalam pengurusan kewangan seseorang itu tidak digalakkan mempunyai hutang melebihi 30 peratus daripada gaji bulanan. Jika ia melebihi 30 peratus daripada gaji, kedudukan kewangan sudah berada dalam keadaan bahaya, lebih-lebih lagi jika kita langsung tidak mempunyai tabungan kecemasan.

Keadaan disukarkan lagi apabila masih ramai tidak faham mengenai hutang yang diambil selain sikap suka bertangguh dalam membayar hutang. Sebagai contoh, membayar minimum untuk kad kredit setiap bulan sedangkan kuasa pengkompaunan menyebabkan hutang berkenaan bertambah apabila tidak dilunaskan dalam masa ditetapkan.

Agak membimbangkan kerana trend menunjukkan sebahagian besar daripada kita tidak segan untuk menambah komitmen hutang berbanding mendisiplinkan diri untuk melabur.

Mungkin dengan berhutang kita dapat memiliki barangan atau perkhidmatan yang diinginkan berbanding melabur yang memerlukan masa sebelum manfaatnya dapat dirasai.

Ramai yang terlupa bahawa hutang adalah satu tanggungjawab yang perlu dilangsaikan, manakala pelaburan membantu kita membina tabungan sebagai sandaran waktu memerlukan.

Jadi, jika anda baru bekerja fokuslah untuk melabur dan membina tabungan kecemasan sebelum berangan membeli kereta atau menggunakan kad kredit. Jika belum ada tabung kecemasan, berusahalah untuk melabur walau hanya serendah RM30 setiap bulan.

Jika kini anda terperangkap dalam beban hutang, mulakan fokus untuk melangsaikan hutang dengan caj faedah paling tinggi. Hentikan penggunaan kad kredit dan elakkan berbelanja untuk perkara bukan keperluan seperti bercuti, makan di restoran mewah dan sebagainya.

Untuk memastikan kita tidak terperangkap dalam beban hutang keterlaluan, ikutilah nasihat yang sering dikongsikan penasihat kewangan. Melaburlah terlebih dahulu, binalah tabung kecemasan sekurang-kurangnya menyamai enam bulan gaji semasa sebelum mula berkenalan dan membina hutang.