Ibu bapa berilah kepercayaan kepada KPM

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

APABILA peperiksaan utama iaitu Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan, ada kalangan ibu bapa yang mengeluh.

Pada mereka, tanpa peperiksaan, bagaimana hendak mengetahui perkembangan dan kemampuan anak masing-masing.

Ibu bapa memikirkan bagaimana kaedah penilaian yang akan dilakukan jika mahu masukkan anak ke sekolah yang lebih baik seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Jika ada peperiksaan khas, adakah mencukupi dan bagaimana ia akan dilaksanakan?

Tanpa peperiksaan utama juga ibu bapa khuatir kemungkinan anak-anak mereka akan hilang minat belajar atau belajar ‘main-main’.

Sekadar hadir ke sekolah, dengar apa yang cikgu ajar tapi faham atau tidak, ingat atau lupa tidak lagi penting kerana tidak ada peperiksaan.

Buat apa nak mengulang kaji pelajaran bersungguh-sungguh. Pendek kata, tidak lagi seperti zaman persekolahan pada era 80 atau 90-an.

Tidak salah jika ibu bapa risau kerana ini menunjukkan mereka ambil berat dengan perkembangan anak masing-masing. Setiap ibu bapa pasti mahu memberi yang terbaik buat anaknya.

Bagaimanapun, inilah namanya perubahan yang dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia juga disifatkan sebagai transformasi terbesar dalam sejarah KPM.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, transformasi tersebut telah melalui kajian dan proses terperinci sebelum ia dilaksanakan.

Jelasnya, transformasi yang dilakukan itu demi kebaikan anak-anak dan ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada KPM dan sentiasa memberi kerjasama.

Malah peperiksaan akhir tahun masih ada di samping beberapa pentafsiran sedia ada.

Selain itu, pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu juga bakal mewujudkan suasana di dalam kelas yang lebih menyeronokkan kerana pelajar tidak lagi tertekan dengan peperiksaan.

Dengan penjelasan itu, adalah diharapkan ibu bapa dapat menarik nafas dan bertenang. Berikan kepercayaan sepenuhnya kepada KPM untuk meneruskan transformasi yang telah dirancang itu.

Sudah pasti setiap yang dilakukan adalah untuk kebaikan dan bukan memudaratkan.

Perubahan dalam pendidikan juga perlu dilakukan seiring dengan zaman bagi menjamin masa depan anak-anak.