Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pekerja kontrak maut akibat dihempap dinding batu ketika sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan di ladang kelapa sawit di Springhill Port Dickson, petang Selasa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohamad Rosman Md Nor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 3.55 petang sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Pekerja kontrak itu sedang memecahkan dinding dan kerja-kerja itu juga hampir siap, namun dia tidak sempat melarikan diri, lalu kakinya terhempap runtuhan dinding.

Pasukan kami membantu mengeluarkannya daripada runtuhan," katanya ketika dihubungi.

Katanya lelaki berusia 53 tahun berstatus pemastautin tetap itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama