LCS: Senator gesa tubuh RCI, dedah laporan JKSTUPKK

Beberapa Ahli Dewan Negara pada Selasa menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beberapa Ahli Dewan Negara pada Selasa menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Dewan Negara pada Selasa menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Senator Datuk Razali Idris berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada pendakwaan.

"Dewan Negara rasa ada keperluan menubuhkan RCI untuk siasat skandal pembelian LCS yang melibatkan kontrak rundingan terus dengan nilai RM9.128 bilion kerana kita juga ingin tahu mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 bilion dilakukan tetapi sehingga kini, tiada kapal diserahkan kepada TLDM.

"Saya bimbang sekiranya isu sebesar ini tidak dicermati siasatannya maka akan mencemarkan nama dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

Justeru, RCI ini amat diperlukan sesegera mungkin,” katanya ketika membahas usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara pada Selasa.

Bagi Senator Muhammad Zahid Md Arip, penubuhan RCI mampu memberi ketelusan kepada siasatan projek itu sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat.

"Sekiranya dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, saya penuh yakin dan percaya baginda akan memberi perkenan.

Kita perlu laksanakan siasatan ini secara terbaik dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh pula meminta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta laporan audit forensik yang telah dinyahklasifikasikan disiarkan kepada umum sesegera mungkin.

Beliau berkata, penyiaran laporan itu kepada umum dapat membantu pemahaman yang lebih adil dan bersandarkan fakta serta tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak termasuk ahli politik.

Dalam pada itu, Senator Fadhlina Sidek meminta penjelasan sama ada pertukaran reka bentuk LCS daripada SIGMA kepada GOWIND merupakan kehendak TLDM atau saranan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Terdahulu, Senator Lim Hui Ying mengusulkan supaya Dewan Negara membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan perolehan LCS yang mendedahkan pelbagai kepincangan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam keseluruhan projek itu.

Sebelum ini, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satupun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion, memperuntuk lima kapal harus disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022. - Bernama