Rakyat dijemput beri maklum balas program subsidi bersasar

Tinjauan Umum ini merupakan pendekatan baharu MOF dalam usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus.
Tinjauan Umum ini merupakan pendekatan baharu MOF dalam usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) menjemput semua pihak untuk memberi maklum balas kepada Tinjauan Umum berkaitan Program Subsidi Bersasar untuk dijadikan sebagai input kepada kerajaan semasa merangka Program Subsidi Bersasar.

Menurut MOF dalam kenyataan pada Selasa, maklum balas kepada Tinjauan Umum tersebut boleh dimuat turun melalui laman web https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.

"MOF mengalu-alukan maklum balas bagi Tinjauan Umum ini dilengkapkan dan dikemukakan sebelum atau pada 30 Ogos 2022,” katanya.

Katanya, langkah itu untuk memastikan subsidi yang disediakan kerajaan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada kumpulan sasar.

"Tinjauan Umum ini juga merupakan pendekatan baharu MOF dalam siri penerbitan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dalam usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh,” katanya.

Menurut MOF, kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosio-ekonomi negara. - Bernama