PRU15: BN kuasai media sosial elak rakyat termakan hasutan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) akan berjuang habis-habisan bagi menegakkan kebenaran bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada termakan dakyah dan hasutan yang tidak berasas oleh pihak lawan demi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bergerak dengan dua cara dalam menyebarkan maklumat serta fakta iaitu secara fizikal seperti mengedarkan risalah serta menerusi platform media sosial bagi memastikan maklumat dan penerangan dapat disampaikan secara menyeluruh.

Ujar beliau, media sosial diberi perhatian lebih oleh BN dalam penyebaran maklumat memandangkan sistemnya lebih cepat dan ringkas dalam perolehan informasi.

“Justeru, saya berharap seluruh jentera BN memahami apa yang saya maksudkan dengan pendekatan baharu BN pada Konvensyen Wanita BN,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah beliau, kegagalan BN dalam PRU14 adalah disebabkan penguasaan komunikasi yang lemah menerusi saluran media sosial.

“Sedangkan lawan BN pada waktu itu memanipulasi sepenuhnya platform berkenaan untuk melancarkan propaganda dan tohmahan mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan supaya fakta dan kebenaran tidak hanya dikongsi bersama ahli parti itu.

“Tumpukan penyaluran maklumat terhadap laman media sosial yang menjadi tumpuan masyarakat kerana amat penting maklumat itu sampai ke pengetahuan mereka,” jelas beliau.

Tegasnya, beliau meminta kepada seluruh ahli parti berkenaan agar tidak termakan cacian dan serangan pihak lawan yang mahu melemahkan mentaliti mereka.