Kes cabul libat pegawai polis akan dirujuk Bukit Aman

Laporan Sinar Harian pada 9 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 9 Ogos lalu.
A
A
A

KAMPAR - Kertas siasatan kes wanita yang mendakwa dicabul seorang pegawai polis dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini, 5 Ogos lalu akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dengan merakam percakapan individu yang terlibat.

"Kita merakam percakapan lanjut daripada pengadu. Dalam kes ini, tiada saksi bebas dikenal pasti kecuali anak suspek yang berada di lokasi kejadian.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak terlebih dahulu sebelum ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sinar Harian pada 9 Ogos lalu melaporkan seorang kerani berusia 23 tahun mendakwa dicabul seorang pegawai polis yang telah bertindak meraba dan menciumnya.

Kejadian berlaku ketika wanita itu menemui lelaki berkenaan kerana mahu mengetahui bagaimana lelaki itu mengenalinya sebelum diajak menaiki kereta dan dibawa ke rumahnya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.