Keputusan kenaikan elaun pembantu Tabika Kemas hujung tahun ini

Permohonan menaikkan elaun pembantu Tabika Kemas telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan bebanan tugas yang semakin meningkat. - Foto Bernama
Permohonan menaikkan elaun pembantu Tabika Kemas telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan bebanan tugas yang semakin meningkat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan berhubung kenaikan elaun pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, permohonan telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan elaun tersebut berikutan bebanan tugas yang semakin meningkat dan tidak setimpal dengan gaji yang diterima iaitu RM500 sebulan.

"Insya-ALLAH dalam tahun ini (dapat keputusan)," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (Mara) 2021 di sini pada Selasa.

Mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar Mara meneruskan projek Mara Digital, Mahdzir berkata, agensi itu komited meneruskan usaha menambah baik pusat perniagaan tersebut, yang dicetuskan Ismail Sabri pada 2015 ketika menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Usaha ke arah itu akan diteruskan kerana Mara Digital Mall ini adalah ‘baby’ PM (Perdana Menteri). Beliau cetuskan penubuhan premis itu khusus untuk usahawan bumiputera,” katanya.

Ismail Sabri dalam catatan di laman Facebook beliau berkata, Mara telah diarah meneruskan projek Mara Digital bagi membuka peluang kepada anak muda bumiputera membabitkan diri sebagai usahawan teknologi maklumat (IT) yang merupakan trend terkini dan masa depan.

Pada Isnin, Ismail Sabri mengadakan tinjauan mengejut ke Mara Digital Mall Kuala Lumpur bagi meninjau sendiri aktiviti perniagaan di pusat jualan peralatan telekomunikasi dan IT itu.

Mahdzir berkata, pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat mengenai penganjuran aktiviti bagi mempromosikan produk usahawan IT di hadapan Mara Digital Mall Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

"Misalnya, cadangan penutupan jalan (di hadapan Digital Mall Kuala Lumpur) setiap hujung minggu untuk beri ruang kepada penganjuran aktiviti promosi. Kalau permohonan diluluskan DBKL, anak muda (bumiputera) yang membabitkan diri sebagai usahawan IT dapat ambil bahagian,” katanya. - Bernama