Cubaan seleweng minyak diesel tumpas

Tangki yang diubah suai bagi tujuan menyeludup minyak diesel. Gambar kecil: Mark
Tangki yang diubah suai bagi tujuan menyeludup minyak diesel. Gambar kecil: Mark
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori ditahan ketika mengisi diesel ke dalam tangki simpanan logam yang diubah suai di belakang lori tiga tan miliknya di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah pada Isnin.

Penahanan lelaki berusia 48 tahun itu dibuat oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di daerah ini.

Anggota KPDNHEP memeriksa lori yang telah diubah suai bagi tujuan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Jalan Beserah pada Isnin.
Anggota KPDNHEP memeriksa lori yang telah diubah suai bagi tujuan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Jalan Beserah pada Isnin.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, hasil pemeriksaan menemui tangki simpanan logam yang disimpan di belakang lori terbabit dengan hos di atas tangki.

“Ketika ditahan, dianggarkan 900 liter diesel sudah diisi ke dalam tangki terbabit.

"Turut ditemukan sebuah pam yang dipasang berhampiran tangki untuk menyalurkan diesel dari tangki bahan api itu ke dalam tangki yang diubah suai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut manakala lori disita dan kes disiasat mengikut Peraturan 18(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Susulan kejadian itu, Mark berkata, pasukan penguat kuasa akan melakukan pemeriksaan dan rondaan di stesen minyak di seluruh Pahang bagi mengekang sindiket menyalahgunakan diesel bersubsidi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan aktiviti mencurigakan di pam stesen minyak supaya memaklumkan kepada kementerian," katanya.