Pembahagian kerusi BN Perak kekal status quo

 Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) di Perak masih kekal seperti mana sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada sebarang perubahan jumlah kerusi ditetapkan kepada mana-mana anggota komponen untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Menurutnya, semua kerusi yang diberikan kepada parti komponen mempunyai peluang untuk dimenangi pada pilihan raya akan datang.

"Pada kita, di mana sahaja kerusi yang diletakkan untuk bertanding, ada potensi untuk menang. Kalau tak ada potensi, kita tak akan bertanding, buat apa bertanding untuk kalah.

"Jadi mana-mana parti UMNO, MIC atau MCA yang bertanding sudah tentu kita bertanding untuk menang. Dah menang baru tubuh kerajaan, barulah kita boleh melantik Exco.

"Setakat ini (jumlah kerusi) status quo kecuali jika ada perbincangan atau keputusan yang diputuskan oleh BN pusat. Setakat ini di peringkat negeri status quo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Pada Ahad, Presiden MIC, Tan Sri SA Vickneswaran mengharapkan parti itu diberikan kerusi DUN yang berpotensi dimenangi pada PRU15 bagi membolehkan wakil mereka dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu penting kerana MIC amat memerlukan wakil di dalam kerajaan negeri untuk menyuarakan keperluan kaum India.

Beliau berkata, setiap negeri perlu mempunyai Exco kerajaan negeri dalam kalangan kaum India dan kerusi-kerusi DUN yang diberikan kepada MIC mesti boleh dimenangi.